Politik

Jangan pertikai Ismail Sabri PM ke-10 – Ahmad Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jangan ada pihak cuba membuat spekulasi berhubung keputusan parti itu mahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri jika BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menegaskan perkara tersebut penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan yang dibuat oleh UMNO dan BN adalah konsisten dan tidak berbelah bagi untuk penyandang kerusi Parlimen Bera itu diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 nanti.

“Apabila parti UMNO dan BN buat keputusan bahawa Perdana Menteri ialah beliau yang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang ini.

“Jangan timbul spekulasi, jangan timbul ramalan, jangan ada yang cucuk mencucuk kerana di kalangan kami..we have no problem at all,” ujarnya berucap merasmikan BN Comm Parlimen Tangga Batu dan melancarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak Sungai Udang di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Pengerusi BN Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong.

Berbaki sembilan hari sebelum hari mengundi pada 19 November ini, parti lawan terus membuat spekulasi mendakwa Ahmad Zahid akan dilantik sebagai Perdana Menteri seandainya UMNO dan BN
memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan usaha pihak-pihak tertentu untuk memecahbelahkan parti itu.

Pada April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah membuat keputusan menamakan Naib Presiden parti, sebagai calon Perdana Menteri.

Terdahulu beliau melakukan lawatan meninjau persiapan jentera BN di Parlimen Masjid Tanah sebelum disusuli di Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, mengikut kajian daripada Jalinan Rakyat (JR) di seluruh negara BN semakin menghampiri kemenangan menjelang hari mengundi pada 19 November ini.

“Saya ingin beritahu kita (BN) sudah hampir ke garisan kemenangan untuk menawan Putrajaya dan membentuk kerajaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan rakyat akan rugi jika tidak memilih BN kerana parti itu telah memerintah dengan sempurna sepanjang tempoh 62 tahun dan membina banyak kemajuan sejak selepas merdeka. -SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button