Politik

Mohd. Ridhwan janji bantu 2,000 penduduk Ozana Residen

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali memberi jaminan masalah yang dihadapi kira-kira 2,000 penduduk di Ozana Residen, Bukit Katil dekat sini berkaitan masalah pencemaran udara dan bunyi akan dapat diatasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, beliau akan menyegerakan kelulusan pembinaan sebuah tembok konkrit setinggi 20 kaki dan sepanjang 500 meter yang dirancang bagi mengatasi masalah tersebut yang dihadapi penduduk
di situ sejak tiga tahun mereka mendiami rumah berkenaan.

Beliau berkata, penduduk memberitahu beberapa siri perbincangan antara pihak kilang terbabit, pemaju, MPHTJ dan penduduk telah diadakan sebelum ini namun ia terhenti kerana beberapa masalah mendapat kelulusan di bahagian teknikal.

“Saya menerima aduan daripada penduduk dan datang berjumpa dengan mereka hari ini bagi mengetahui masalah yang dihadapi serta membuat tinjauan di kawasan terbabit.

“Saya merancang selepas PRU15 untuk bertemu dengan semua pihak yang terlibat bagi menyegerakan pembinaan tembok konkrit yang dicadangkan memandangkan dana akan diberikan oleh tiga kilang terbabit.

“Saya difahamkan proses ini tersangkut di peringkat kelulusan di peringkat teknikal dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka (JBPM). Saya akan perhalusi hal ini dan pihak berkaitan untuk kita tengok bagaimana proses ini boleh dipercepatkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk yang turut disertai Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shahdan Othman di sini hari ini.

Mohd. Ridhwan berkata, tiada masalah untuk beliau membantu penduduk kerana memang benar bau busuk dipercayai pelepasan asap dari kilang berdekatan menjadi punca pencemaran bau dihadapi penduduk di sini.

Katanya, beliau akan mencari jalan terbaik menerusi rundingan yang akan diaturkan selepas PRU15 bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

“Ini menjadi tanggungjawab saya untuk membantu supaya masalah ini akan dapat diatasi dengan segera.

“Kalau dah ada dana cuma hal teknikal sahaja yang perlu diselesaikan dan saya percaya kerjasama semua pihak akan dapat menyelesaikan hal ini secepat mungkin,” ujarnya. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button