Politik

Anak M40 terima komputer riba percuma

Pelajar sekolah yang terdiri daripada keluarga M40 tidak akan tercicir menerima komputer riba percuma sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu adalah tawaran baharu yang akan dimasukkan dalam manifesto parti itu Perancangan Awal dan Usaha BN atau ringkasnya PADU dilancarkan pada 7 November lalu.

Menurutnya, dalam manifesto yang dilancarkan tempoh hari tidak menyenaraikan anak daripada keluarga M40 sebagai penerima komputer riba yang akan diberikan secara percuma.

Beliau berkata, janji dalam manifesto ini bukan janji palsu, janji ini akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 18 bulan daripada kemenangan BN pada PRU15 nanti.

“Atas persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah berjumpa dengan saya pagi tadi, beliau pada dasarnya sudah bersetuju untuk pembahagian komputer riba ini kepada anak-anak daripada keluarga M40 di seluruh negara.

“Manakala untuk anak-anak muda lepasan sekolah yang berhajat untuk menyambung pelajaran apa tah lagi yang bekerja dalam sektor penghantar makanan dan sebagainya, satu skim khas akan diberikan
dan dilaksanakan kerajaan sebagai keprihatinan terhadap golongan ini.

“Tambahan untuk anak-anak muda lagi, latihan kemahiran akan diberikan kepada mereka yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tentunya peluang pekerjaan akan diberikan kepada mereka seluas-luasnya,” ujarnya.

Beliau berucap merasmikan BN Comm Parlimen Tangga Batu dan melancarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak Sungai Udang di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof; Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Pengerusi BN Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan menambah keluasan liputan komunikasi 5G untuk anak-anak generasi muda di seluruh negara terutama di sekolah-sekolah dalam tempoh 18 bulan nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, manifesto yang ditawarkan kali ini turut menumpukan kepada pembangunan anak muda di negara ini bagi memastikan kemahiran, keusahawanan dan perindustrian dapat memberi manfaat kepada golongan itu. – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button