Politik

Calon BN Parlimen Tangga Batu lancar manifesto

Usaha membantu menyelesaikan masalah pampasan nelayan melibatkan hampir 300 orang dari Klebang hingga ke Pantai Puteri adalah antara 15 perkara yang terkandung dalam manifesto calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong yang dilancarkan hari ini.

Menurutnya, beberapa isu nelayan berkaitan menambah baik fasiliti dan infrastruktur seperti membaik pulih jeti di Klebang Besar dan Sungai Lereh serta membina penempatan pengkalan baru di Pantai Puteri akan diberikan tumpuan jika BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua nelayan terbabit bagi mendengar segala permasalahan yang timbul.

Beliau berkata, masalah nelayan adalah sebahagian daripada 15 perkara yang ditawarkan untuk dinikmati oleh penduduk di Tangga Batu melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Selain isu nelayan, kita juga akan memperkasakan rancangan tebatan banjir (RTB) termasuk menaik taraf sistem perparitan, kolam takungan air sebgai usaha menangani banjir kilat yang kerap berlaku di daerah ini.

“Menambah baik sistem pengangkutan dan penyuraian trafik sebagai pendekatan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di kawasan tumpuan pelancong di Dataran 1Malaysia Klebang dan memperluaskan liputan jalur lerbar terutama di kawasan luar bandar.

“Menyelenggara tempat pelupusan sampah Sungai Udang serta mempercepatkan pembinaan insinerator pelupupasan sampah dan menaik taraf sistem pengairan di kawasan sawah padi dan tanaman adalah antara lima teras utama terkandung dalam Aku Janji manifesto ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan manifesto di Bilik Gerakan Parlimen Tangga Batu, Klebang Kecil di sini hari ini.

Ban Hong berkata, perkara tersebut menjadi teras utama terkandung dalam manifestonya selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai termasuk nelayan sepanjang tempoh enam hari berkempen.

Menurutnya, dua perkara utama yang sering diluahkan penduduk berkaitan kesesakan jalan raya dari Klebang hingga ke Sungai Udang pertambahan kenderaan selepas pandemik Covid-19 dan pembinaan insinerator.

“Kita tahu Klebang kini menjadi pusat tumpuan pelancong terutama cuti hujung minggu atau cuti perayaan menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya yang sangat serius,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, jika rakyat memberi mandat kepada BN, beliau akan menyiapkan kertas kerja kepada pihak berkaitan berhubung bagaimana masalah tersebut dapat dilaksanakan serta memberi keselesaan kepada orang ramai. – SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button