fbpx
Nasional

COVID-19: Kes baharu kekal dua digit, tiada kematian hari ini

JUMLAH jangkitan kes baharu positif COVID-19 yang dilapor hari ini masih kekal dua digit iaitu 19 kes dan tiada kematian dilaporkan.

Dengan sifar kematian dicatatkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak berkenaan kekal 117 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, enam kes adalah kes import dan 13 kes lagi adalah penularan di dalam negara.

“Bagi penularan dalam negara itu, dua kes adalah bukan warganegara dan 11 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,322 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,531 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.


Dr Noor Hisham berkata sebanyak 39 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,674 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Memperincikan 11 kes melibatkan warganegara itu, katanya sebanyak enam kes dikesan di Selangor, dua di Wilayah Persekutuan, dua di Sabah dan satu di Negeri Sembilan.

Katanya di Selangor, dua kes saringan pusat rehabilitasi di Dengkil; dua kes saringan madrasah tahfiz dan satu kes Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah di Sabak Bernam serta satu kes saringan tempat kerja di Klang.

“Di Kuala Lumpur pula, masing-masing satu kes membabitkan Kluster Pangsapuri Cheras dan Kluster Gombak (kluster baharu), iaitu saringan kontak rapat kes 7064 dan kes 7246.

“Sementara dua kes didapati di Sabah bagi saringan kontak rapat (ahli keluarga) kepada kes 3641 dan kes 4537 serta satu kes membabitkan saringan pekerja kilang di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula berkuat kuasa pada 10 Jun ini, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berlangsung ketika ini dan juga PKPP nanti hanya akan berjaya dengan pematuhan semua pihak terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, KKM menyeru masyarakat untuk terus patuh kepada SOP dan kekal waspada bagi memastikan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan dalam komuniti. Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, dan kita jaga negara. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah mengambil pendekatan agresif menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac dan kemudiannya disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei sebelum disambung sebulan lagi yang akan berakhir Selasa ini.

Penguatkuasaan PKPP merupakan pelaksanaan secara berperingkat oleh kerajaan bagi memastikan negara dapat melalui fasa pemulihan dalam penularan COVID-19 ini yang mana lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan akan dibuka selain pergerakan masyarakat juga diberi kelonggaran. – BERNAMA 

 

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button