Sukan

Golf, basikal, joging, badminton, sukan tak babit sentuhan dibenarkan

KERAJAAN mula membenarkan orang ramai untuk bersukan dan beriadah tetapi terhad kepada aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan.

Semua aktiviti sukan sebelum ini tidak dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aktiviti sukan luar yang tidak ada risiko bersentuhan yang tidak melebihi 10 orang kini dibenarkan.

Tetapi katanya, dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

“Saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan.

“Dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja sebentar tadi.

Namun kata Muhyiddin, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

Katanya, ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium.

“Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, kebenaran untuk melaksanakan aktiviti sukan tertentu itu merupakan sebahagian daripada pendekatan ketiga pengawalan Covid-19, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

Ini termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB.

Di bawah pendekatan ketika ini sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan.

Namun, aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

“Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja.

“Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.

“Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari.

Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masingmasing,” katanya. – SM

(Visited 925 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button