Nasional

Selamatkan khazanah negara kita

TIDAK ramai yang prihatin apabila kisah badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia mati setelah menderita penyakit kronik selama lima tahun.

Tidak ramai juga yang bersedih selepas mendengar berita kematian Iman, badak sumbu Sumatera itu.

Meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk menyelamatkan Iman, namun tiada siapa yang mampu menghalang ketentuan tuhan.

Sejak kebelakangan ini Malaysia bukan sahaja telah kehilangan khazanah berharga itu, malah bakal menyusul lebih banyak lagi haiwan terancam seperti Harimau Malaya, Gajah Borneo, Tenggiling dan Tenuk Malaysia akibat perbuatan rakus manusia durjana.

Kulit, taring, gading malah organ haiwan-haiwan tersebut diburu dek gelap mata dengan habuan wang yang lumayan.

Kewujudan haiwan tersebut memberi 1,001 manfaat kepada ekosistem tanpa kita sedari.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengisytiharkan “peperangan total” terhadap pemburu liar dan restoran hidupan liar dan restoran yang menghidangkan daging eksotik sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk melindungi flora dan fauna negara – terutamanya spesies terancam.

Ini ditegaskan oleh pelancaran Op Khazanah baru-baru ini, di mana semua pihak yang terlibat dalam penangkapan haram dan pembekalan hidupan liar akan ditangkap dan didakwa.

Abdul Hamid memberi amaran bahawa semua pesalah, termasuk pemilik restoran yang menyajikan hidangan haiwan eksotik, tidak akan melarikan diri dari undang-undang.

Ini menunjukkan polis komited untuk menangani isu rampasan dan rompakan hutan negara.

Negara memang undang-undang yang ketat terhadap pemburuan haram iaitu boleh dihukum di bawah Akta Senjata Api Kanun Keseksaan; selain daripada menghadapi tindakan oleh Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Bagaimanapun usaha PDRM semata-mata tidak akan membuahkan hasil yang dikehendaki tanpa tenaga rakyat seluruhnya digembleng.

Rakyat harus menjadi mata dan telinga kepada polis dalam memerangi jenayah ini. Kecanggihan teknologi termasuk media sosial merupakan medan yang mudah orang ramai untuk menyertai peperangan ini.

(Visited 370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button