fbpx
Belang Bertempat

`Si kitul’ masuk gear 5 porak perandakan Perikatan Nasional?

BEBERAPA hari sebelum pendakwaan atas tuduhan rasuah sekitar Februari 2004, Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam sedang menikmati makan tengahari bersama Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesra dengan panggilan Pak Lah) serta anggota Kabinet di atas bot berkanopi yang berlayar di perairan yang tenang di sekitar tasik Putrajaya.

Pak Lah; Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Putrajaya Holdings, Allahyarham Tan Sri Azizan yang menjadi tuan rumah majlis makan tengah hari itu dan menteri-menteri Kabinet termasuk Kasitah, masing-masing tampak gembira di sepanjang pelayaran itu.

Sambil menjamah ikan salmon salai dan menikmati hidangan daging lembu dan kambing yang dimasak enak, penjawat-penjawat tertinggi kerajaan kelihatan begitu ceria.

Itu merupakan kali terakhir Kasitah menikmati saat-saat ceria bersama rakan-rakan Kabinet beliau – detik-detik ini dicoretkan oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam bukunya bertajuk Kabinet 1Malaysia: Mengimbas Kembali Tadbir Urus Kabinet.

Bayangkan kejutan yang dialami oleh Kasitah sehari selepas majlis makan tengah hari yang enak itu apabila beliau ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan-tuduhan rasuah.


Kasitah Gaddam ceria selepas dibebaskan daripada semua tuduhan rasuah oleh mahkamah pada 2009.

Setelah lima tahun iaitu pada 11 Ogos 2009, keadilan terbukti apabila Mahkamah Tinggi membebaskan Kasitah dari semua tuduhan rasuah.

Mahkamah, melalui penghakiman Hakim Suraya Othman, memutuskan pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Kasitah atas tuduhan rasuah dan penipuan kepada saham-saham tertentu di Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB).

Walaupun Kasitah melonjak gembira atas keputusan itu, beliau pada masa sama diselubungi kesedihan. Ini merupakan satu kes mengenai sistem keadilan yang boleh dipertikaikan.

Kasitah telah hilang segalanya – jawatan Kabinet beliau, keahlian parlimen, reputasi peribadi selama lebih lima tahun yang terpaksa diharungi dengan penuh kehinaan dan keperitan.

Malang sekali, dalam sistem keadilan jenayah seperti kes Kasitah, tiada ruang bagi beliau untuk menyaman pihak berkuasa atas kesilapan pendakwaan ke atas dirinya.

Sememangnya elok direnung kembali sejarah Si Kitul yang direkodkan dalam Sejarah Melayu. Nafsu, fitnah dan dendam kesumat yang melanda pemerintahan Melaka ketika itu dengan watak utamanya dimainkan oleh Si Kitul.

Pernahkah kita bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah di tangan Portugis?

Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu?

Apakah orang Melayu Melaka waktu itu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia?

Catatan-catatan pengembara dan pedagang awal Eropah, India dan Cina juga menunjukkan kerajaan-kerajaan nusantara yang mengelilingi kerajaan Melayu Melaka ketika itu adalah pengeluar utama meriam-meriam hebat dan berkuasa di dunia seperti Kesultanan Brunei, Kesultanan Pattani, Kesultanan Sulu dan beberapa kerajaan Melayu lain di Asia Tenggara.

Malahan, Kerajaan Islam Turki Uthmaniah juga pernah membeli meriam-meriam yang berkualiti daripada kerajaan-kerajaan kesultanan melayu di nusantara.

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam. Dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu!

Sebenarnya, yang menjadi punca kekalahan Melaka disebabkan wujud tali barut iaitu Datuk Syahbandar Melaka, Raja Mendeliar . Portugis tahu konflik antara Sultan dan Bendahara. Sultan berkenan dengan Tun Fatimah, tetapi Bendahara mengahwinkan dengan segera anaknya dengan Tun Ali, tunangan Tun Fatimah. Hubungan Sultan dan Bendahara bertambah kusut akibat Tun Fatimah.

Menyemarakkan konflik, api fitnah mengusutkan lagi hubungan Sultan dan Bendahara. Seorang saudagar bernama Nina Sura Dewana pergi menghantar wang suapan kepada Bendahara untuk melindungi kedainya. Bendahara menerima wang suapan itu.

Perkara itu diketahui oleh Si Kitul. Si Kitul memberitahu Raja Mendeliar bahawa Nina Sura Dewa telah merasuah Bendahara. Kitul dan Raja Mendeliar kemudian membuat konspirasi menjatuhkan Bendahara. Mereka berdua berpakat menggunakan Laksamana Koja Hasan (seorang yang sangat dipercayai Sultan) untuk mendapat peluang mengadap Sultan.

Raja Mendaliar menyatakan Bendahara sedang membuat singgahsana yang bersalut emas dan merancang untuk merampas takhta Sultan.

Mendengarkan cerita Raja Mendeliar, Sultan tanpa usul periksa lagi terus menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera untuk membunuh Bendahara.

Tanpa usul periksa, fitnah Kitul dan Mendeliar terus dipercayai Sultan. Turut dibunuh ialah Tun Hasan Temenggung, Seri Nara Diraja dan Tun Ali. Emas Bendahara diangkut ke Istana, Tun Fatimah diambil menjadi isteri Sultan. Melaka hilang Bendahara yang bijak mentadbir negeri dan panglima perang yang mengalahkan serangan pertama Portugis.

Pada awal Julai 1511,sesudah serangan selama 10 hari 10 malam, Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis
Akibat percayakan cakap Mendeliar dan Kitul (Keling), Sultan telah membunuh Bendahara Tun Mutahir dan Laksamana Melaka.

Akhirnya, bila orang Melayu Melaka berpecah dan bergaduh sesama sendiri akibat “emas” dan “wanita”, orang luar mengambil kesempatan menjajah negeri Melayu.

Rakyat khususnya orang Melayu yang merupakan majoriti di negara ini harus berwaspada terhadap kemungkinan adanya kelibat Si Kitul hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan laporan sebuah blog kononnya beliau ada mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Mohamad berkata, tuduhan blog tersebut kononnya dia dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu keluar PN kerana tidak diberikan sebarang jawatan adalah berniat jahat.

Blog tersebut dalam berita bertajuk ‘UMNO isytihar tinggalkan PN’ mendakwa, kononnya Mohamad mengeluarkan kenyataan itu dalam mesyuarat yang dihadiri Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin.

Sedangkan tidak ada mesyuarat MT berkenaan kelmarin, malah Mohamad sendiri berada di kampung halamannya di Rantau.

Kalau benar wujud `si kitul’ yang cuba memecahbelahkan PN, ia ibarat barah yang melapah kekuatan mana-mana masyarakat dan negara.

Dengan Malaysia yang kini kelihatan terlalu kecil untuk generasi muda – berada dalam dunia mereka sendiri yang penuh dengan teknologi siber dan yakin dengan pendidikan yang mereka terima dari universiti-universiti dan kolej – golongan ini semakin agresif menuntut hak-hak asasi dan manusia sejagat.

Mereka mula mempersoalkan perkara-perkara yang dulunya bapa-bapa mereka mengambil sambil lewa. Mereka tidak lagi menulis surat. Mereka berkomunikasi menggunakan WhatsApp, SMS, Facebook dan Twitters. Mereka kini merasai kebebasan dan kehidupan yang baharu. Sekali gus mampu menjadikan `si kitul’ lebih bermaharajala.- SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button