Belang Bertempat

Bila `tersepit’, Mahathir angkat Anwar…`politik Machiavelli’

GELAGAT Tun Dr. Mahathir Mohamad sekarang ibarat suatu seni politik ‘sapu sahaja, janji boleh’.

Ini setara dengan inti pemikiran politik Machiavelli yang berteraskan kekuasaan.

Dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita semalam, bekas Pengerusi BERSATU itu secara tiba-tiba pula membela dan mempertahankan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Machiavelli

Belang tak ingat atau tidak pasti bab mana Mahathir membela Anwar sejak selepas insiden pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998. Bab berjabat tangan dengan Anwar, Belang ingatlah…5 September 2016. Itupun semata-mata untuk bergabung menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Tapi soal membela atau mempertahankan Anwar, baru semalam Belang terbaca dalam temubual Mahathir dengan portal berkenaan.

Mahathir mendakwa, Menteri Dalam Negeri sekarang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin cuma mempunyai satu agenda tunggal, iaitu untuk membalas dendam terhadap Anwar.

Belang tak pasti apa `dendam’ Hamzah terhadap Anwar tetapi ini bunyi kenyataan Mahathir yang mendakwa Hamzah tidak suka kerjasama BERSATU dengan PKR.

“Hamzah Zainuddin ini perjuangan dia satu saja – bukan pasal bangsa, agama dan negara. Perjuangannya ialah balas dendam terhadap Anwar Ibrahim.

“Jadi bila dia masuk BERSATU, BERSATU ada dengan PKR. PKR ini pimpinan Anwar. Dia nak supaya bersatu keluar dari Pakatan Harapan supaya Anwar tidak terlibat (dengan kerajaan).

“Itu dia usaha daripada awal. Bila dia keluar daripada UMNO, masuk BERSATU, dia merancang untuk dapat sokongan daripada UMNO dan PAS kepada saya.

“Gunanya ialah supaya saya akan tinggalkan PH dan sertai dia punya (gabungan) parti baru ini. Ertinya parti baharu ini tidak ada Anwarlah.

“Saya kata kepada dia awal-awal lagi. Awak punya matlamat adalah untuk menjatuhkan Anwar.

“Tapi kami bukan mempunyai matlamat yang sedemikian. Tetapi, dia teruskan usahanya, macam mana nak berpisah dengan Anwar yang mungkin menjadi perdana menteri

“Dia nak cuba supaya Anwar jangan menjadi perdana menteri. Itu dia tubuh satu parti campuran baru dan nak saya pindah ke situ. Saya tak setuju.”

Begitulah petikan kenyataan Mahathir dalam wawancara berkenaan.

Dan itulah juga `fi’il’ atau ada kalanya dieja `pe’el’ bekas Perdana Menteri itu apabila berhadapan dengan lawan dan kawan. Ada sahaja helahnya sehingga Hamzah yang disanjung-sanjungnya selepas Ahli Parlimen Larut itu menerima kad keahlian BERSATU sekitar Februari 2019, habis `ditebasnya’.

Bagi Belang setakat Hamzah, Anwar atau sesiapa sahaja yang ada di depan mata Mahathir sekarang hanya `ikan bilis’ sahaja. Negarawan itu sudah melepasi konflik dengan nama-nama besar dari dalam dan luar negara.

HABIS semua Perdana Menteri `dibuli’ Tun Dr. Mahathir Mohamad, melainkan seorang sahaja iaitu Tun Razak.

Perdana Menteri yang lain, semuanya menjadi `mangsa’ beliau.

Dengan dua bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, Mahathir gaduh serentak pada 1987.

Bila ada seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah tidak bersetuju dan tidak bersepakat dengannya, Mahathir kacau kepimpinan Pak Lah. Yang hairannya, Mahathir pilih Pak Lah gantikannya, kemudian Pak Lah juga diganggunya.

Kemudian Mahathir cadangkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak gantikan Pak Lah. Tidak lama selepas itu, Mahathir kacau Najib pula. Dengan Hussein yang memberi laluan kepadanya sebagai Perdana Menteri pun, hubungan Mahathir dengan Hussein tidak pernah harmoni dan aman.

Mana-mana yang tidak `sebulu’ atau tak sehaluan, habis dikeroyok oleh Dr Mahathir.

Bila tiba bab memungkiri janji untuk menaikkan Anwar sebagai PM ke-8 , terus disenyapkan sebab-sebab atau puncanya oleh Mahathir. Mahathir tidak perlu mempertahankan Anwar.

Kalau benar-benar hendak mempertahankan beliau, perkara pertama yang perlu dilakukannya adalah memohon maaf kepada Anwar kerana tidak menepati janji. Bolehkah Dr Mahathir Mohamad?-SM

(Visited 618 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button