fbpx
Belang Bertempat

Anwar bikin PN kacau bilau, negara bisa tercebur ke darurat

PADA mulanya ramai yang tidak percaya dan yakin apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dia mempunyai nombor.

Ramai yang mempersendakan beliau apabila gagal membuktikan nombor itu pada 13 Oktober lalu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Namun ia tidak berhenti setakat itu apabila para pemimpin parti mula dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong walaupun pada akhirnya ditangguhkan.

Namun tersebar pelbagai surat kononnya dihantar kepada Istana Negara, walaupun ia palsu dan memang sebahagian daripada permainan tersebut bagi mewujudkan situasi kacau-bilau dan menjejaskan keterangkulan di parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN).

Yang terus kompak tentunya Pas mereka tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun mereka dianggap sebagai lembu kenyang tidak akan bersuara kerana telah memperolehi segala yang diingini.


Sikap yang sama juga dapat dilihat oleh serpihan Pas iaitu Amanah yang sangat taat setia dengan DAP kerana pernah 22 bulan menjadi kerajaan dan menjadi lembu kenyang.

Walaupun pemimpin Amanah, Khalid Samad menuduh Pas lembu kenyang, sebenarnya mereka di dalam Amanah juga tiada bezanya, bahkan boleh dianggap sebagai syaitan bisu kerana tidak menegur rakan ketika di dalam kerajaan walaupun tindakan diambil menjejaskan kepentingan agama dan bangsa sendiri.

Bahkan kerja mereka adalah menjustifikasikan apa yang dibuat oleh DAP dengan menggunakan kepentingan hak asasi manusia dan keadilan sejagat sebagai pokok hujah, sehingga dibenci oleh majoriti rakyat.

Itulah punca Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan.

Berlainan kes dengan PN. Oleh kerana perdana menteri datang dari Bersatu, walaupun mereka parti yang kecil tetapi tetap berlagak seperti yang menjadi abang besar, sedang mereka bermain api dengan UMNO yang merupakan parti paling besar dan mempunyai hulu balang perang yang ramai.

Bersatu hanya mempunyai Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahmad Fayshal sebagai hulu balang.

Hamzah memanglah orang yang banyak peranan ketika berada di dalam UMNO dalam menggerakkan pergerakan bawah tanah, tetapi Ketua Armada Bersatu belum cukup jam terbang untuk bertempur dengan hulu balang UMNO.

Bersatu juga gagal menggunakan Tan Sri Rais Yatim sedangkan ini adalah hulu balang dan pakar strategi yang sangat berpengalaman dan sangat ampuh dalam melakukan perundingan.

Ramai orang besar di dalam negara dan orang politik juga segan dengan beliau.

Sepatutnya Rais yang diketengahkan bagi menjadi orang tengah pendamai dan perunding.

Dengan kelebihan satu atau dua kerusi sahaja, Bersatu berlagak seolah-olah mempunyai sokongan kelebihan puluhan ahli parlimen.

Kejayaan meletakkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Hajiji Noor  sebagai Ketua Menteri Sabah menyebabkan Bersatu berasa sudah terlalu besar dan berjaya menekan UMNO.

Sikap sedemikian menyebabkan bukan saya para pemimpin UMNO kurang senang, bahkan akar umbi UMNO panas hati dan mendesak untuk keluar dari PN.

Tiba-tiba Anwar tampil dengan solusi iaitu dengan bekerjasama dengan beliau, maruah UMNO akan kembali terpelihara. Para pemimpin UMNO diberikan kedudukan sewajarnya.

Sekali Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdehemm sahaja huru-hara jadinya.

Apabila Zahid tidak menghalang ahli parlimen UMNO menyokong Anwar gerombolan Muhyiddin yang sombong sebelum ini terus terduduk dan terkesima.

Mereka tidak menyangka Zahid akan bermain ke tahap itu kerana ia akan memberi kesan yang negatif kepada UMNO jika tidak ditangani dengan betul.

Akar umbi UMNO tidak akan bersetuju dengan saranan Zahid kerana di belakang Anwar ada DAP.

Kiraan mudah ialah bila UMNO bergabung dengan PKR dan DAP serta Amanah ia sudah cukup untuk membentuk kerajaan yang sangat kukuh seperti zaman Barisan Nasional (BN) dahulu.

UMNO tidak boleh lagi mengharap kaum India dan Cina menyokong MCA serta MIC. Kini zaman DAP dan PKR.

Pakatan baharu ini akan mengembalikan zaman kegemilangan negara dan jika ini berlaku akar umbi akan akur apabila melihat ia sebagai tindakan bijak untuk menyelamatkan negara.

Langkah Anwar ini yang paling ditakuti kebanyakan orang adalah akan berakhir dengan darurat.

Jika semua pihak gagal membentuk kerajaan, akhirnya apabila diisytiharkan pemerintahan tentera kita tidak akan dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Begitulah huru-hara dan kacau bilaunya Langkah Anwar yang pada awalnya menjadi bahan ketawa, tetapi akhirnya menggoncangkan negara keseluruhannya.

Ditambah pula dengan situasi pandemik Covid-19 yang terus tidak terkawal ia meningkatkan meter keresahan rakyat.

Bisnes yang perlahan-lahan bangkit kini kembali suram. Banyak urusan terpaksa ditangguhkan dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Justeru marilah kita berharap dan berdoa agar negara kita tidak perlu terjerumus ke lembah darurat dan orang politik diberi pemikiran yang jernih dan dingin untuk merungkai kekusutan yang dicipta oleh mereka sendiri.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button