Nasional

Polis siasat pencemaran air Selangor

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, dan 3, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata polis menerima satu laporan kejadian itu daripada pegawai penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 3 petang tadi.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat sehingga tindakan yang dilakukan akan memutuskan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau dalam menjalankan sebarang pengeluaran.

“Siasatan awal LUAS mendapati air di loji disyaki mengandungi bahan solvent hingga ke tahap 8 ton. Ekoran itu, bekalan air terpaksa ditutup hingga kerja pembersihan selesai,” katanya kepada Bernama.

Hari ini, Bernama melaporkan pencemaran air di LRA berkenaan menyebabkan ia dihenti tugas pada 12.45 tengah hari tadi mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.


(Visited 116 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button