NasionalNegeri

Tektik ubahsuai tempat ikan, isi air tawar jual di laut dibongkar

Ada sahaja “akal” untuk mengelirukan pihak berkuasa supaya perbuatan yang melanggar undang-undang gagal dikesan.

Jadi tidak hairanlah jika bot untuk menangkap ikanpun disalahguna bagi melindungi kegiatan haram asalkan mendapat wang dengan mudah.

Perkara ini telah dibongkarkan oleh pasukan ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Aman.

Ianya ekoran penahanan sebuah bot nelayan Kelas C bernombor pendaftaran PSF 2319 pada pukul 10.45 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot itu ditahan pada kedudukan lebih kurang 0.75 batu nautika dari barat Kuala Perlis, Perlis.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, pihaknya mendapati tempat simpanan ikan telah diubahsuai.

“Tempat yang diubahsuai ini telah dijadikan sebagai tempat menyimpan air tawar yang dipercayai untuk dijual kepada pihak tertentu di kawasan laut,” katanya.

Mohd Hashim berkata, anggaran air tawar yang dirampas adalah sebanyak 10,000 liter yang bernilai RM300.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin dan air tawar kira-kira RM300,300.

Mohd Hashim berkata, seorang tekong warga Thailand dan dua awak-awak warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 44 hingga 58 tahun yang berada di bot berkenaan juga ditahan.

“Kesemua tekong, awak-awak dan bot dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan pengubahsuaian petak-petak penyimpanan ikan untuk menyimpan air tawar tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen.

Juga katanya, kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tiada kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut yang sah untuk melakukan aktiviti pembekalan air tawar. – SM

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button