fbpx
Hiburan

Kedai tutup sebulan, Shuib tetap bayar gaji penuh

SEMEMANGNYA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lalu untuk mengekang penularan Covid-19 telah memberi kesan yang teruk kepada rakyat.

Perniagaan pula banyak yang terpaksa ditutup dan ramai artis yang terkesan antaranya ialah pelawak, Shuib Sepahtu yang menjalankan perniagaan kedai minuman Bubble Bee Malaysia.

Menurut Shuib, kedainya terpaksa menutup operasi selama sebulan susulan PKP sekaligus menjejaskan sumber kewangan syarikat.

“Memang kewangan terganggu tetapi saya tidak sampai hati hendak menyekat bayaran gaji terhadap pekerja saya di Bubble Bee.

“Itu yang saya bayar gaji mereka penuh sebulan sebagai satu daripada cara untuk membantu mereka yang semasa PKP dilaksanakan,” katanya.


BACA> 70 orang hilang kerja, Wak Doyok sayu

Namun, Shuib tetap bersyukur kerana kedainya masih mampu beroperasi selepas sebulan tetapi hanya terhad kepada perkhidmatan penghantaran sahaja

“Tidak dinafikan saya agak risau dengan situasi yang berlaku, tetapi apabila kedai dapat dibuka semula sambutan agak baik walaupun hanya membuat delivery (penghantaran).

“Kini saya bersyukur dengan keadaan sekarang apabila sambutan kembali sangat menggalakkan seperti ketika mula-mula buka dahulu. Saya anggap semua yang berlaku ini sebagai satu cabaran dan apa yang paling penting adalah dengan mengutamakan kebajikan para pekerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelawak dan penyampai radio Hot FM itu menyatakan dengan pembukaan cawangan kedua ini merupakan satu anjakan kepada perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan Bubble Bee di seluruh negara.

Ujar Shuib, dia sudah merancang untuk membuka sebanyak 26 lagi cawangan Bubble Bee sehingga akhir tahun ini secara berperingkat-peringkat.

BACA> Rakyat Malaysia terkandas di Indonesia rayu kerajaan Sabah bawa mereka pulang

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya juga akan menubuhkan Yayasan Bubble Bee yang bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Selepas pembukaan cawangan kedua di Pasaraya Mydin USJ, Bubble Bee akan beroperasi di dua buah cawangan lagi iaitu di Encorp Strand Mall, Kota Damansara dan Danau Kota, Setapak.

Suara Merdeka sebelum ini melaporkan selebriti fesyen, Wak Doyok yang terkesan dengan PKP hingga terpaksa menutup operasi butiknya di Shah Alam, Selangor.

Malah, Rahmad Mega menerusi tapak perniagaannya yang diberi nama The Stage by Rahmad Mega juga hanya sempat beroperasi selama lima bulan sahaja sebelum ditutup turut ekoran Covid-19. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button