Rencah Hidup

Satu jam Muhammad Faris berpaut pada pelampung pukat ikan, menangis, minta tolong

Tragedi bot pemancing terbalik dibadai ribut di Perairan Kuala Kemasin

TIDAK boleh membayangkan bagaimanakah perasaan Muhammad Faris Ramli, 22, yang berpaut pada pelampung pukat ikan setelah bot yang dinaiki terbalik dibadai ribut di Perairan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan malam tadi sambil menangis meminta tolong sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan.

Kata Muhammad Faris, selama satu jam dia berpaut pada bot berkenaan.

Menceritakan detik yang mencemaskan itu, Muhammad Faris berkata, beliau bersama 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak baharu tiba di lokasi kejadian untuk melakukan aktiviti mencandat sotong dan memancing ikan.

GAMBAR BERNAMA

“Kami baharu sampai di tempat kejadian pada waktu Maghrib dan hanya sekejap mencandat sotong dan memancing ikan sebelum ribut datang dengan tiba-tiba dan terbalikkan bot kami.

“Pada waktu itu tekong bot mengarahkan kami masuk ke bahagian dalam bot untuk menyelamatkan diri, dia (tekong) kata tali sauh bot putus.

“Kejadian berlaku amat pantas sehingga saya tidak melihat apa-apa lagi,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Tok La, hari ini.

Terdahulu, dalam tragedi bot terbalik yang berlaku di 10 batu nautika, Perairan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan malam tadi, empat disahkan mati lemas, empat masih hilang dan 12 disahkan selamat.

Muhammad Faris yang terselamat dalam insiden itu dan merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, itulah pertama kali beliau memancing di laut.

“Saya tenggelam sebelum berjaya mencapai pelampung pukat ikan dan sempat menyelamatkan dua lagi rakan yang lain iaitu Harif Mat Yasin, 50, dan Ahmad Roslan Musa, 31, manakala rakan-rakan yang lain tidak kelihatan pada ketika itu.

“Saya hanya mampu berdoa dan berfikir akan turut terkoban sekiranya tiada bot nelayan yang datang menyelamatkan kami,” katanya.

Muhammad Faris yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, selepas terselamat, lebih mendebarkan hatinya apabila dia tercari-cari bapa saudaranya iaitu Hasan Daud, 60, yang tidak kelihatan dan antara yang dilaporkan masih hilang.

“Nasib baik sepupu saya, Amir Syazwan Adnan, 21, turut terselamat dan inilah pertama kali dan terakhir saya  ke laut.

“Peristiwa ini akan menjadi pengalaman pahit dalam hidup saya dan akan dikenang sampai bila-bila,” katanya. – SM

(Visited 521 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button