BeritaHiburan

Iliya, Ropie tak senasib baik Sheila Majid?

KASIHAN pula Suara Merdeka mendengar nasib menimpa Iliya dan Ropie yang menjadi pelawak terbaharu selepas Shahrul Shiro, digam daripada tampil di program Astro.

Dua pelawak itu dihalang menyertai rakaman Sepahtu Reunion Jumaat lalu kerana dikatakan persembahan mereka pada final program Maharaja Lawak Mega tempoh hari mempersenda kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Seingat Suara Merdeka ada juga sebilangan artis, yang bukan biasa-biasa, tetapi memang popular mengkritik kerajaan secara terbuka semasa Barisan Nasiona (BN) berkuasa dahulu. Tetapi tidaklah sampai digam oleh stesen televisyen.

Pada 2017, Sheila Majid menimbulkan isu kos sara hidup dan nilai ringgit yang lemah di Twitter ketika perwakilan UMNO sedang mengadakan perhimpunan agung parti yang waktu itu dikatakan semua parti akan melangkah ke pilihan raya umum.

Kalau tidak silap, bunyi ciapan twitter Sheila lebih kurang begini:
“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati. Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta.
“Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” kata selebriti popular itu di perkhidmatan rangkaian sosial itu.

Waktu itu juga Sheila bukanlah satu-satunya artis yang bercakap di media sosial mengenai kos sara hidup yang tinggi.

Pelakon Fathia Latiff turut mempersoalkan ketika itu “mengapa baru hanya sekarang siasatan dijalankan ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia pada 1990-an.”

Dua tahun sebelum itu semasa BN berkuasa juga, selebriti Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot menyelar kerajaan kerana gagal memberi bantuan secukupnya kepada ibu bapa yang terpaksa mengurung anak Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 15 tahun.

Tetapi sekali lagi seingat Suara Merdeka (kalau salah minta netizen perbetulkan) tidaklah sampai pihak-pihak yang memegang kuasa dalam kerajaan BN kejam terhadap artis-artis terbabit. Adakah Sheila atau Wardina digam stesen tv seperti mana nasib dialami Iliya atau Ropie?

Mengenai Shahrul Shiro, pada pengamatan Suara Merdeka elok jugalah beliau tidak muncul di televisyen atau mana-mana program maharaja lawak sebab beliau sendiri telah isytihar sokong BN.

Shahrul Shiro, nasihat Suara Merdeka, elok tiru saja jejak penyanyi Aishah yang terjun ke arena politik dengan menyertai Pas pada 2011 dan bertanding mewakili parti Islam itu di kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13.

Aishah bagaimanapun tewas kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,629 undi. Aishah meninggalkan Pas dan kemudian menyertai Parti Amanah Negara.

Seorang lagi artis, penyanyi Dayangku Intan demikianlah juga fi’ilnya.

Bertanding dalam PRU-13 tetapi tewas kepada calon BN, Azalina Othman Said yang meraih 26,992 undi. Dayangku Intan hanya memperoleh 4,484 undi.

Artis tersebut yang menyertai PKR pada 2012, mengumumkan keluar parti 10 disember 2017.

Di negara seberang, Indonesia, ramai artis mereka terjun dalam politik. Kebanyakan tidak direkrut oleh parti politik, tetapi `tergiur’ untuk menikmati cabaran berpolitik.

Kepada pihak-pihak yang berkuasa dalam kerajaan hari ini, elok bersikap terbuka dengan meraikan kritikan membina atau `senda gurau’, asalkan tidak memudaratkan ketenteraman awam.

Dan apa lagi kalau datang daripada artis yang sekadar mahu menambah `garam atau cili’ dalam masakan mereka.

– SM

(Visited 677 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button