fbpx
Nasional

Ketegasan mufti gagalkan cubaan  hapus subsidi haji?

PERCUBAAN untuk menghapuskan subsidi haji sekaligus menaikkan kos rukun Islam kelima itu tidak berjaya kerana ketegasan mufti.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, mufti dan timbalan mufti telah dipanggil untuk diterangkan mengenai cadangan merasionalkan subsidi haji dikurangkan baru-baru ini.

“Alhamdulillah, syabas dan terima kasih kepada ashabus samahah mufti-mufti yang tegas membuat pendirian untuk tidak mahu dijadikan alat bagi memperakui agenda mengurangkan subsidi jemaah haji dan menaikkan caj haji tahun ini.

“Maklumat yang diperolehi daripada salah seorang mufti yang hadir mereka dipanggil oleh Tabung Haji untuk menerangkan rasional kenapa caj haji harus dinaikkan dan subsidi haji perlu dikurangkan,” dakwa Asyraf Wajdi.

Ketua Pemuda UMNO itu turut mendakwa, sumber dalaman mendedahkan sepatutnya pengumuman kadar caj haji baru yang berbeza-beza termasuk kepada mereka yang merayu dan kali pertama menunaikan Haji dibuat pada hari Jumaat yang lalu.

“Mohon Menteri Dr. Mujahid Yusof Rawa kembali menghayati falsafah dan matlamat penubuhan Tabung Haji yang antara lainnya untuk membantu menyempurnakan keperluan jemaah haji menunaikan ibadah rukun kelima.

“Usahlah sewenang-wenangnya nak menggunakan isu istito’ah (kemampuan) bagi menghalalkan pengurangan subsidi,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut Asyraf Wajdi, ketika era pemerintahan BN, Tabung Haji pernah meminta menaikkan caj haji sebanyak tiga kali tetapi tidak dipersetujui Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah menurut Asyraf Wajdi,  mufti-mufti juga tidak pernah dipanggil untuk iktiraf agenda untuk menaikkan kos atau caj haji.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button