Nasional

Koronavirus: Rasullulah pernah larang masuk, keluar kawasan wabak

Kerajaan perlu sekat kemasukan pelancong China

LAGI pihak menyarankan agar kerajaan menyekat kemasukan pelancong dari China ke Malaysia berikutan penularan wabak maut koronavirus di negara tersebut.

Sekatan itu selaras dengan saranan NABI Muhammad SAW  agar seseorang tidak memasuki kawasan yang dilanda wabak penyakit dan orang yang berada di dalam kawasan tersebut dilarang meninggalkan tempat tersebut.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, larangan berkenaan bertujuan bagi mengekang penularan dan kebinasaan yang dibawa oleh virus penyakit berkenaan.

“Al-Imam al-Bukhari merekodkan riwayat berkenaan Saidina Umar yang bermusafir ke negeri Syam. Beliau kemudian dimaklumkan tentang wabak penyakit yang menimpa tempat yang dituju tersebut.

“Salah seorang sahabat bernama Abdul Rahman ibn Auf menasihatkan: Sesungguhnya aku mempunyai ilmu tentang perkara ini. Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sekiranya kamu mendengar tentang sesuatu wabak di satu tempat maka janganlah kamu memasukinya, manakala sekiranya wabak tersebut telah melanda sesuatu tempat, jangan pula kamu meninggalkan tempat tersebut,” kata Ahmad Sanusi

Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa tidak seharusnya bagi muslim mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan. Setiap langkah mesti diambil bagi memelihara setiap nyawa.

Tindakan itu juga selaras dengan firman Allah, “Dan janganlah kamu menghumbankan diri kamu dengan tanganmu sendiri kepada kebinasaan.”

Tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan Filipina, Indonesia, Hong Kong dan Rusia boleh dijadikan iktibar kepada kerajaan Malaysia betapa menjaga nyawa rakyat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

Ahmad Sanusi berkata, tidak timbul isu diskriminasi warga China untuk datang ke Malaysia.

“Malah menurut The Telegraph UK, kerajaan China sendiri menyekat hampir 20 juta penduduk Wuhan dari berhubung dengan bandar lain. Ini tidak bukan bagi menjaga keselamatan jiwa manusia.

“Andai sekiranya China sendiri menyekat rakyatnya dari berhubung dengan bandar lain, mengapa tidak kita juga mengambil tindakan yang sama? Semoga Allah memelihara Malaysia,” kata Ahmad Sanusi.

CNNPhilippines melaporkan Filipina menghantar pulang hampir 500 pelancong China yang mendarat di Kalibu. The Jakarta Post pula mengesahkan bahawa pihak berkuasa Indonesia membatalkan semua penerbangan yang berasal dari Wuhan.

Kerajaan Hong Kong pula mengisytiharkan darurat dalam menangani isu ini. Semua sekolah ditutup manakala laluan masuk melalui keretapi dan penerbangan dari Wuhan disekat dari semasa ke semasa.

Rusia turut mengenakan tindakan yang sama. The Moscow Times melaporkan bagaimana penerbangan dari Wuhan ke Rusia ditangguhkan bagi mengekang penularan koronovirus.

“Pada hakikatnya tindakan ini selaras dengan hadith Nabi. Rasulullah pernah menyarankan agar jangan memasuki kawasan yang ditimpa wabak dan orang yang berada di dalam kawasan wabak tersebut dilarang meninggalkan tempat tersebut. Ini bertujuan bagi mengekang penularan dan kebinasaan,” kata Ahmad Sanusi.-SM

 

(Visited 1,442 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button