Nasional

Rakyat Malaysia terkandas di Indonesia rayu kerajaan Sabah bawa mereka pulang

Terpaksa tebalkan muka menumpang di rumah kawan, wang habis

“KAMI merayu kerajaan negeri Sabah supaya bantu kami pulang ke Tawau,” luah Juliana Arifudin, rakyat Malaysia yang kini terkandas di Nunukan, Indonesia, bersama suami dan anaknya.

Menurut Juliana, dia dan suami, Hermawan Zainuddin, 31, serta anak lelaki mereka, Hadderayn Ezreansyah, 3, pergi menziarahi keluarga di Sulawesi, Indonesia pada 11 Mac lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Kami keluar dari Malaysia pada 11 Mac dan perjalanan ke Sulawesi mengambil masa tiga hari dua malam iaitu dari Tawau ke Nunukan dan ke Pare Pare, kemudian selama 10 hari di Pare Pare, perkhidmatan feri dan operasi di pelabuhan digantung.

“Pada 6 Jun lalu, pelabuhan di sana beroperasi semula …kini kami hampir tiga minggu berada di Nunukan untuk menunggu kebenaran pulang ke Sabah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Juliana sekeluarga yang  kini menumpang di rumah kawan di Jalan Pangeran Antarsari, Nunukan turut mendakwa terdapat lebih 20 rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan pada ketika ini.

Katanya, difahamkan Konsulat Malaysia di Pontianak, Indonesia sudah menghantar surat kepada kerajaan Sabah untuk mendapatkan kebenaran pulang ke Tawau dan berharap kerajaan negeri Sabah segera memberi kelulusan.

Juliana berkata,  sepanjang terkandas di Indonesia itu, mereka berdepan dengan masalah kewangan kerana perlu membeli barangan keperluan termasuk makan dan minum.

“Saya juga terpaksa menahan malu menumpang di rumah orang berminggu-minggu,” katanya dan menurutnya, ada rakan yang terpaksa menggadaikan barang dan berhutang demi kelangsungan hidup.- SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button