Nasional

Bantuan rakyat lewat jika Belanjawan 2021 tidak lulus

SELAIN terhad kepada peruntukan untuk kakitangan awam, pencen dan komitmen hutang kerajaan, bantuan kepada rakyat juga mungkin akan alami kelewatan.

Ini kerana, jika Belanjawan 2021 tidak mendapat kelulusan Dewan Rakyat akibat gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, maka ia perlu dibentangkan semula.

Apabila perkara sedemikian berlaku, kelewatan terutama bantuan kepada rakyat dalam menghadapi tekanan ekonomi akibat pandemik Koroanvirus (Covid-19) akan berlaku.

Itu antara implikasi yang berlaku jika belanjawan tidak diluluskan, namun cadangan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang adalah rasional.

Ini kerana, terdapat dua perkara yang ditekankan iaitu kebajikan kepada rakyat dan menghalang berlaku pembaziran seperti peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebanyak RM85.5 juta.

“Pembangkang pun kena fikirkan implikasinya iaitu jika mereka tidak bersetuju, maka melambatkan proses kelulusan peruntukan bagi membantu rakyat terjejas.

“Tetapi, kalau belanjawan tidak diluluskan, maka rakyat akan menyalahkan pembangkang kerana melambatkan peruntukan.”

Kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Terdahulu, beliau membangkitkan kebimbangan terhadap sokongan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Ini kerana terdapat tanggapan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah tidak menyokongnya selepas enggan terlibat dalam perbahasan belanjawan itu.

Bagaimanapun, Ahmed Razman menjelaskan penyelesaian perlu berbalik kepada permasalahan utama mengikut kemudaratan yang lebih berat ditanggung.

“Namun, bagi saya kita kena melihat dari sudut Islam, antara dua mudarat itu yang mana lebih besar, kita ambil yang kecil.

“Jadi, kemudaratan kelewatan peruntukan dengan pembaziran untuk membuat benda yang tidak perlu, kena lihat dari konteks itu.

“Dua-dua mudarat, tetapi mudarat mana yang kita boleh terima.

“Dalam kes ini saya melihat peruntukan Jasa, RM85.5 juta itu berbanding dengan peruntukan berbilion yang disalurkan kepada rakyat.

“Jadi peruntukan berbilion ini lebih utama. Maknanya, semua pihak kena setujulah meluluskan belanjawan dan berterusan memastikan bahawa apa sahaja peruntukan yang dianggap membazir atau tidak cukup itu sentiasa dibawa ke dalam perhatian kerajaan supaya penambahbaikan boleh dilakukan,” jelasnya.

Tambah beliau, jika terdapat peruntukan tidak mencukupi, kerajaan boleh membuat membuat belanjawan susulan seperti yang berlaku setiap tahun.

Katanya lagi, soal moratorium pinjaman dan pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mengganggu fiskal negara. – SM

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button