Nasional

Covid-19: Apa berlaku hari ini?

PERINTAH Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 sudah masuk hari ketujuh hari ini. Hari ini juga menyaksikan pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu polis mengawal pergerakan ramai.

Kami senaraikan perkembangan yang berlaku hari ini.

04.05 petang: Kematian kesepuluh libat jemaah tabligh

COVID-19 meragut satu nyawa lagi hari ini melibatkan jemaah tabligh berusia 74 tahun pada pukul 4.05 petang tadi. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pesakit berkenaan merupakan kes ke-259 dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac lalu, Kes kematian kesepuluh adalah melibatkan seorang lelaki warganegera Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh, iaitu kes ke-259.

03.50 petang: PGA tambah anggota di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan

Pasukan Gerakan AM (PGA) Batalion 7 menambah kekuatan anggota di ketiga-tiga Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini. Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Supt Azhari Nusi berkata pihaknya telah menambah seramai 86 anggota bagi melaksanakan perintah itu yang sebelum ini anggota bertugas hanya 372 orang di tiga kompleks – Rantau Panjang, Pengkalan Kubur, dan Bukit Bunga.

03.40 petang: 212 rakyat Malaysia terkandas di Uzbekistan selamat tiba

Seramai 212 rakyat Malaysia yang terkandas di Tashkent, Uzbekistan, selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 malam tadi. Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kumpulan itu berlepas pada hari sama menerusi penerbangan Uzbekistan Airways, yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negara itu.

03.00 petang: Polis nafi ‘doktor Tabligh’ lari ujian COVID-19

Polis menafikan terdapat seorang ‘doktor tabligh’ yang menjalani ujian COVID-19, kononnya telah melarikan diri dari bilik isolasi Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam, sebaliknya berlaku salah faham berhubung perkara tersebut kerana dia keluar untuk menunaikan solat. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya ada menerima satu laporan polis daripada doktor bertugas di wad kecemasan HSJ memaklumkan, terdapat seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga jemaah tabligh, telah melarikan diri dari bilik isolasi dalam kejadian 8.20 malam tadi.

02.50 petang: Misi Tehran: Malaysia turut bawa pulang rakyat negara jiran

Malaysia sekali lagi membuktikan keprihatinan dan kemampuannya, dalam menguruskan kebajikan warganya di luar negara yang menghadapi musibah, apabila berjaya membawa pulang 46 rakyat negara ini yang terkandas di Tehran, Iran, susulan penularan COVID-19. Ia merupakan misi ketiga selepas kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dari Wuhan, China pada 4 dan 26 Feb lepas akibat wabak itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang.

02.15 petang: Hampir 50,000 anggota pantau Perintah Kawalan Pergerakan

Lebih kurang 50,000 anggota terdiri daripada tentera, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan kini memantau pematuhan orang ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dalam mengekang penularan wabak COVID-19. Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain majlis keselamatan negeri, pusat pengurusan bencana daerah juga akan digerakkan untuk menguatkuasakan dengan tegas peraturan itu.

01.50 tengah hari: Polis Terengganu jejak jemaah tabligh untuk saringan COVID-19

Polis Terengganu mengerakkan pegawai dan anggotanya bagi menjemput ahli tabligh yang masih enggan membuat ujian saringan COVID-19. Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya bersama pegawai kesihatan akan ke rumah ahli jemaah untuk membawa mereka melakukan pemeriksaan.

01.50 tengah hari: Lelaki hina polis kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan direman

Seorang lelaki ditahan polis selepas memuat naik status di media sosial yang menghina polis yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan di Jitra, Kedah. Lelaki berusia 32 tahun itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

01.45 tengah hari: Mangsa COVID-19 pertama meninggal dunia di Kelantan selamat dikebumikan

Jenazah mangsa COVID-19 yang pertama meninggal dunia di Kelantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Rantau Panjang, sekitar jam 3.30 pagi tadi.
Jenazah yang melibatkan kluster tabligh berusia 69 tahun itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua, HRPZ II, Kota Bharu sekitar jam empat petang semalam.

01.15 tengah hari: Sultan Johor kurnia sumbangan makanan kepada anggota polis bertugas

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada anggota polis yang terlibat dalam tugasan sekatan jalan raya di sekitar kawasan Bandaraya Johor Bahru berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu. Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Istana Pasir Pelangi, yang kemudiannya akan diagihkan kepada anggota polis.

01.15 tengah hari: 18 daerah di Malaysia catat lebih 20 kes COVID-19

Sebanyak 18 daerah di seluruh negara mempunyai jumlah kes COVID-19 melebihi angka 20. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebooknya berkata, daripada jumlah itu sebanyak enam daerah direkodkan mempunyai lebih daripada 40 kes.

01.05 tengah hari: Malaysia catat kematian ke-9, babitkan seorang doktor perubatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu lagi kematian dilaporkan berkait wabak COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan kematian pertama melibatkan seorang doktor perubatan KKM.

12.17 tengah hari: Sidang DUN Kelantan ditangguh ke April

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual bermula esok selama empat hari, ditangguhkan ke bulan April, kata Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub.
Beliau berkata penangguhan itu diputuskan oleh kerajaan negeri selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sejak 18 hingga 31 Mac ini.

11.55 pagi: Hospital swasta di Sungai Petani tutup sementara

Sebuah hospital swasta di Sungai Petani menghentikan operasi sehingga Isnin depan selepas seorang wanita yang menerima rawatan didapati mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan COVID-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Hospital Pantai Laguna Merbok, wanita warga tempatan berusia 30 tahun itu hadir ke hospital untuk rawatan bersalin.

11.50 pagi: Borneo Medical Centre gantung perkhidmatan serta-merta

Borneo Medical Centre (BMC) di Kuching, Sarawak menggantung perkhidmatan bagi menjalankan pembersihan dan penyahkuman secara menyeluruh di hospital berkenaan.
Ini susulan seorang pesakit positif COVID-19 yang pernah mendapatkan rawatan di hospital itu meninggal dunia di rumahnya pada 18 Mac lalu.

10.50 pagi: Tentera mula dikerah bantu PDRM

Mulai hari ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula dikerah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

10.50 pagi: Malaysia terima banyak bantuan negara lain – Hishammuddin

Malaysia menerima pelbagai bantuan daripada negara luar dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

10.30 pagi: Baki 500 daripada 12,500 yang menyertai ijtimak belum disaring

Data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan lebih kurang 12,500 orang termasuk 1,600 tetamu luar negara menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling dari 28 Feb hingga 2 Mac.
Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah Tabligh Malaysia Abdullah Cheong dalam satu kenyataan hari ini berkata bermakna kehadiran peserta tempatan adalah sekitar 11,000 orang.  Bermakna hanya sekitar 500 peserta tempatan yang belum disaring bagi membendung penularan COVID-19

08.15 pagi: Lebih 10,000 kenderaan diperiksa di laluan masuk, keluar Kelantan

Polis memeriksa lebih 10,000 kenderaan melalui sekatan jalan raya di laluan pintu masuk dan keluar negeri Kelantan sejak dua hari lalu. Sekatan jalan dilakukan di jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

08.12 pagi:  Kenderaan dari luar tidak dibenarkan masuk ke daerah Lahad Datu

Kenderaan dari luar yang ingin memasuki Lahad Datu tidak akan dibenarkan masuk melainkan mempunyai sebab yang munasabah. Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, sekatan jalan raya dilakukan di lima kawasan utama yang menjadi laluan keluar masuk yang berkuat kuasa untuk tempoh 24 jam bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

08.10 pagi: UNHCR bantu kenalpasti pelarian berjangkit COVID-19

Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama rapat dengan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pencari suaka diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata usaha itu bagi mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku dalam kalangan masyarakat.

08.00 pagi: Pesawat khas bawa pulang rakyat Malaysia dari Tehran tiba di KLIA

Pesawat khas yang membawa rakyat Malaysia dari Tehran, Iran, satu daripada negara yang paling teruk dilanda wabak COVID-19, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang awal pagi ini.
Pesawat AirAsia disewa khusus untuk Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu tiba pada 6.35 pagi, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara.

07.00 pagi: Anak sepupu Neelofa berusia enam bulan sah dijangkiti COVID-19

Pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa mendedahkan bahawa anak kepada sepupunya yang berusia enam bulan sah dijangkiti COVID-19.
Menerusi perkongsian gambar di Instagram, Neelofa memohon orang ramai agar mendoakan kesejahteraan anak sepupunya yang bernama Noor Sameera Mohd Nazlee.

07.00 pagi: Seorang pelajar pengajian jarak jauh UiTM disahkan positif

Seorang pelajar pengajian jarak jauh Universiti Teknologi Mara (UiTM) disahkan positif COVID-19, kata Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Ir Mohd Azraai Kassim.
Mohd Azraai berkata pelajar tersebut yang kini sedang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur dijangkiti melalui bapanya yang turut didapat positif COVID-19.

 

(Visited 216 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button