Nasional

Perkukuh sektor logistik dan rantaian bekalan

NEGARA membangun boleh menjadi penyumbang utama kepada perdagangan global dan meningkatkan ekonomi sendiri sekiranya memperkukuhkan sektor logistik serta infrastruktur rantaian bekalan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini dapat dicapai sekiranya negara-negara membangun memberikan penekanan kepada bidang teknologi, memperkemas prosedur kastam dan budaya amalan mampan.

Beliau berkata, selain itu, penekanan kepada tenaga kerja mahir dan mempromosikan inovasi juga menjadi antara faktor untuk memperkukuhkan sektor logistik dan memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.

ASEAN telah memberikan inspirasi kepada kita dengan model yang berharga untuk kerjasama serantau, memupuk daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi.

“ASEAN telah mewujudkan persekitaran untuk rantaian bekalan yang teguh dan mampan dengan menekankan integrasi ekonomi dan kemudahan perdagangan.

“Inisiatif seperti ASEAN Single Window menyelaraskan prosedur kastam dan menggalakkan penggunaan teknologi mampan di seluruh negara anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa Logistik dan Rantaian Bekalan (ISLSC) di Universiti Teknologi Rajamangala (RMUTT) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi RMUTT, Veerasak Wongsombut.

Simposium yang dianjurkan oleh The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia itu dihadiri oleh ahli akademik dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan beberapa negara lain.

Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan ke arah pengurusan logistik dan rantaian bekalan yang mampan adalah tanggungjawab bersama.

“Ia memerlukan komitmen untuk berubah, keterbukaan terhadap inovasi, dan dedikasi untuk meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.

“Simposium ini juga adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk memastikan potensi sektor-sektor ini terus berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, selepas majlis tersebut, beliau turut melancarkan Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri yang kedua di institut pengajian awam pertama di Thailand.

RMUTT akan menfokuskan kepada penghasilan kamus bahasa Melayu dan Thai. – SM

Artikel berkaitan > Pengajian bahasa dan peradaban Melayu diperluas ke seluruh Asia Tenggara

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button