NasionalParlimen

Hanya projek baharu yang ditangguh – Mustapa Mohamed

KERAJAAN sedang mengambil langkah untuk menjimatkan perbelanjaan awam dengan menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang masih belum dimulakan.

Ini bagi membolehkan wang disalurkan untuk kesejahteraan rakyat, selain usaha pemulihan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Projek pembangunan mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3), tidak terjejas dengan keputusan kerajaan untuk menangguh atau membatalkan projek baharu.

Beliau berkata, ini kerana projek yang akan ditangguhkan adalah projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan dan belum diiklankan.

Projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan, telah dikeluarkan iklan Tender, Surat Niat dan Surat Setuju Terima akan diteruskan bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) ketika Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

“Sejumlah 7,243 projek pembangunan dengan jumlah peruntukan RM75.6 bilion telah diluluskan untuk pelaksanaan bagi tahun ini hasil libat urus antara beberapa kementerian”

“Setakat ini beberapa projek telah dikenal pasti akan ditangguhkan, antaranya termasuklah, pembinaan pusat pemprosesan getah bersepadu, perolehan peralatan bagi memodenkan bengkel dalam bidang elektrikal, projek kerjasama pusat latihan teknologi tinggi dengan institusi pendidikan dan latihan di luar negara, dan projek penyelidikan strategik,” tambahnya lagi.

Kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan rakyat dan berusaha untuk memulihkan ekonomi negara dengan memastikan langkah-langkah penjimatan dilaksanakan. -SM

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button