Nasional

Raja Muda prihatin peningkatan kes Covid-19 di Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan setiap ketua keluarga supaya mengambil serius dengan sentiasa memantau status kesihatan diri dan juga ahli keluarga masing-masing selain memastikan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka serta kebersihan diri terus dijaga.

Perlis hari ini mencatatkan 50 kes positif Covid-19 iaitu 49 kes tempatan dan 1 kes import B dan merupakan rekod tertinggi pernah dilaporkan sehingga hari ini. Ia sesungguhnya amat membimbangkan baginda dan seluruh rakyat jelata.

‘Bagi golongan dewasa yang berisiko mereka harus mengambil peranan dalam mengamalkan norma baharu yang lebih ketat di rumah sekurang-kurangnya untuk dua minggu hingga sebulan yang akan datang ini dahulu supaya penularan kepada kanak-kanak khususnya anak-anak dan cucu-cicit tersayang dapat dielakkan’.

‘Selain itu, sentiasalah melakukan aktiviti pembersihan atau disinfeksi di rumah selain menghadkan pelawat yang datang ke rumah’.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Masjid Al-Raudhah, Sg Batu Pahat sebelum solat jumaat pada tengahari tadi.

Amil, Syed Nasir Syed Abdul Ghan mewakili seramai 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima daripada baginda bantuan bernilai RM400 setiap seorang dengan jumlah penuh RM 11,600.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Diadakan juga ialah simbolik penyerahan ikhlas berupa bakul-bakul makanan keperluan harian sumbangan Perlis Dolomite Sdn Bhd daripada Pengurus Besarnya Mohd Nazif Saparman kepada Tuanku Raja Muda untuk diagihkan melalui pihak MAIPs kepada seramai 200 orang golongan asnaf yang terkesan disebabkan oleh Covid-19 di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menasihatkan jika ada sesiapa yang bergejala, teruslah dapatkan rawatan segera. Juga,masyarakat dipohon supaya berikanlah penjagaan khusus kepada ahli keluarga terutamanya warga emas dan yang mempunyai penyakit kronik.

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button