fbpx
Nasional

Tidak sepatutnya seorang muslim persoal pengawalan jual arak

PERBANDINGAN Pengerusi Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Datuk Mohamed Arshad Raji terhadap pengambilan arak dan amalan rasuah disifatkan sebagai mengelirukan.

Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, kedua-dua perbuatan tersebut dilaknat oleh Allah dan rasul.

“Langkah pengawalan arak tidak bererti kita membenarkan amalan rasuah berlaku bahkan kita hendaklah menyeru supaya kedua-dua kemungkaran ini haruslah dibanteras. Ia selaras dengan saranan Rasulullah yang melaknat penyebaran arak dan amalan rasuah.

“Sabda Rasulullah:“Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan. (HR Abu Daud)

“Begitu juga Allah melaknat amalan rasuah. Sabda Rasulullah: “Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (HR Ahmad),” kata Dr. Ahmad Sanusi.


Menurut Dr. Ahmad Sanusi, dalam kedua-dua hadisitu  Rasullulah menggunakan perkataan ‘laknat’. Ini bererti perbuatan rasuah dan penyebaran arak adalah amalan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.

Jelasnya, arak dan rasuah memberikan ancaman kepada kesejahteraan negara dan tidak seharusnya seorang muslim mempersoalkan sebarang tindakan untuk mengawal penjualan arak.

“Sepatutnya tidak timbul isu mempersoalkan tindakan mengawal penjualan arak ini oleh seorang Muslim. Muslim seharusnya melihat kedua perkara sebagai suatu keutamaan yang mesti dibanteras demi kesejahteraan ummah ini. Semoga Allah membimbing kita,” kata Dr. Ahmad Sanusi.

Semalam Arshad menyifatkan tindakan melarang penjualan minuman beralkohol di Kuala Lumpur sebagai tidak masuk akal sekali gus mempersoalkan pihak berkuasa jika perbuatan meminumnya lebih berbahaya daripada rasuah.

“Cuba beritahu kami mana lebih buruk, minum arak atau rasuah? Mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita? Keburukan mana yang paling menarik orang Melayu

“Beritahu kami antara dua keburukan ini, mana harus diambil tindakan terlebih dulu, menentang larangan minuman keras atau menghapuskan rasuah dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Arshad meminta Ahmad Marzuk yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa supaya meneliti kes tangkapan ramai pegawai imigresen atas dakwaan pemerdagangan manusia dan ramai ahli politik kini berdepan pertuduhan rasuah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa semalam.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Serentak itu Ahmad Marzuk berkata, Kerajaan tidak menolak kemungkinan lebih banyak negeri lain mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan, untuk mengharamkan penjualan arak di kedai serbaneka dan runcit.-SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button