Politik

Kongsi Rezeki Ramadan 2.0 bantu pegamal media

HUBUNGAN yang dibina oleh ahli politik dengan pengamal media harus ikhlas dan murni.

Silaturrahmi yang terjalin antara pengamal media dan ahli politik juga bukan sekadar ketika ada perlunya sahaja.

Berteraskan semangat itu, Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini meluangkan masa menyantuni bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Faridah Hitam, 71 tahun, di rumah beliau di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam kunjungan tersebut, Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam bertanya khabar akan keadaan Faridah yang kehilangan suami tercinta, Hassan Abdul Wahab, 81 tahun, pada 11 Mac lalu.

“Saya mengenali beliau (Faridah) sejak mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004. Beliau banyak membantu saya menyampaikan maklumat dan membantu saya membina karier sebagai ahli politik.”

“Ziarah ini sebagai tanda kasih saya kepada beliau dan pengamal media yang lain atas jasa mereka membantu negara,” kata Dato’ Sri Ismail Sabri.

Faridah berkhidmat lebih 30 tahun di akhbar terulung Utusan Malaysia bermula tahun 1977 hingga 2008. Faridah juga pernah menerajui akhbar hujung minggu paling laris jualannya iaitu Mingguan Malaysia pada Januari 2000 sebagai Pengarang selama tiga tahun, dengan jumlah edaran yang pernah dicatat sebanyak lebih 700,000 naskah.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan beliau pada tahun lalu akan diteruskan pada Ramadan kali ini.

“Program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 dilangsungkan dengan inisiatif berbeza iaitu pada tahun ini fokus kita adalah untuk membantu bekas pengamal media yang kini sedang menghadapi ujian getir kehidupan.

“Insya-Allah, saya akan menziarahi beberapa orang lagi pengamal media yang uzur dan sedang diuji dengan cabaran getir kehidupan,” jelas beliau.

Melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dilancarkan Ismail Sabri pada tahun 2023, sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa telah berjaya diagihkan, dengan 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah. – SM

 

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button