Nasional

Sorotan 2019: Kisah tragis Nora Anne jadi episod duka di Negeri Sembilan

TAHUN 2019 menyaksikan episod duka di Negeri Sembilan apabila digemparkan dengan berita kematian tragis remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin selepas dilaporkan hilang daripada vila penginapan keluarganya di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini, 4 Ogos lepas.

Lebih meruntun hati apabila laporan bedah siasat yang dimaklumkan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop pada 15 Ogos lepas bahawa anak istimewa berumur 15 tahun itu meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat ketiadaan makanan dalam tempoh yang lama dan tekanan berpanjangan.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km daripada eko-resort itu.

Berita kehilangan Nora Anne mula mencuri tumpuan umum termasuk pemimpin negara serta masyarakat antarabangsa sejak dia dilaporkan hilang pada 4 Ogos lepas, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort berkenaan.

Kejadian berkenaan turut menarik perhatian sejumlah besar media tempatan dan antarabangsa yang ‘berkampung’ di kawasan itu bagi membuat liputan kes kehilangan remaja Ireland itu.

Pada ketika itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dilaksanakan membabitkan keanggotaan kecil namun mula diperhebatkan membabitkan seramai 159 anggota selepas 24 jam remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu masih gagal ditemui.

Namun, hari demi hari dalam operasi yang berlangsung bermula 7 pagi dan berakhir 4 pagi keesokkan harinya terus menjadi tanda tanya kepada pelbagai pihak selepas tiada petunjuk positif diperolehi. Usaha dilipa ganda dan diperluaskan meliputi kawasan bukit dan anak sungai berdekatan selain keanggotaan SAR seramai 348 orang sekaligus menjadikan ia pasukan SAR terbesar digerakkan.

Ia terdiri daripada pakar penjejak daripada pasukan komando VAT 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Sapura, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, penduduk Orang Asli dan pendaki sukarelawan.

Sepanjang pencarian itu yang terpaksa melalui pelbagai cabaran memandangkan kawasan terlibat adalah kawasan hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit, segala usaha telah dilakukan. Helikopter dan dron yang dilengkapi peralatan canggih turut digunakan serta rakaman suara ibunya memanggil remaja itu dengan panggilan manja “Nora darling, Nora I love you …mum is here” yang dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

Selain itu, polis turut merakam keterangan 20 saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan malah turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun kerana mendakwa remaja berkeperluan khas itu dirogol Orang Asli, yang dibuat melalui ciapan akaun twitter miliknya.

Pada awalnya, keluarga remaja itu yakin Nora Anne dilarikan tetapi polis mengklasifikasikannya sebagai kes orang hilang memandangkan tiada bukti yang menyokong dakwaan itu.

Pasangan Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastian Marie Philipe akhirnya muncul buat pertama kali menerusi video rakaman yang diedarkan kepada media yang menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelamat Malaysia yang bertungkus lumus mencari anaknya itu, termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Dua hari selepas rakaman video berkenaan, iaitu pada hari kesembilan operasi SAR dilaksanakan, ibu bapa Nora Anne sekali lagi membuat penampilan di Balai Polis Pantai untuk menghadiri sidang media khas dan mengumumkan tawaran secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga menemukan anak sulung mereka.

Sehari selepas tawaran itu diumumkan, kawasan berkenaan digemparkan dengan penemuan mayat wanita berkulit cerah oleh kumpulan sukarelawan yang kemudiannya disahkan sebagai Nora Anne oleh keluarganya yang membuat pengecaman di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban. Proses bedah siasat berlangsung lebih 10 jam, suatu tempoh masa yang mendebarkan semua pihak.

Apa yang menimpa remaja anak istimewa itu, yang bapanya dari Perancis dan ibunya dari Ireland, telah menyentuh hati dan emosi bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga mereka di luar negara. Ramai yang mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap usaha pasukan mencari dan menyelamat Malaysia yang bertungkus lumus mencarinya dalam hutan tebal.

Kes berkenaan turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merakamkan dukacita atas kematian Nora Anne.

Perasaan sedih dan simpati turut disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kemudiannya mengadakan pertemuan penuh emosi dan linangan air mata dengan keluarga remaja berdarah Perancis-Ireland itu di resort penginapannya.

Mayat Nora Anne dituntut keluarga untuk dibawa pulang ke negaranya pada 17 Ogos lepas pada pukul 12.42 tengah malam selepas semua urusan dokumentasi diselesaikan.

The Dusun Pantai Hill yang terletak 16 kilometer dari bandar Seremban adalah resort alam semula jadi persendirian yang bermula dengan sebuah dusun durian sebelum ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan dibangunkan sebagai resort dan dibuka kepada orang ramai pada 2009 bermula dengan dua chalet. – BERNAMA

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button