fbpx
Nasional

PTPTN tutup tirai 2019 dengan pencapaian memberangsangkan

BIARPUN berdepan suasana ekonomi tidak menentu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melabuh tirai 2019 dengan merekodkan kutipan bayaran balik sebanyak RM2.07 bilion, berbanding RM2 bilion sasaran awal sebelum ini.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata budaya membayar balik pinjaman PTPTN dalam kalangan peminjam meningkat kepada 82.5 peratus setakat 30 Nov lepas, berbanding 81.3 peratus pada 31 Dis 2018 dan ia dijangka akan terus bertambah hingga hujung tahun ini.

“Dalam tempoh itu PTPTN juga telah membantu seramai 172,863 pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) melalui pinjaman yang disediakan dan daripada jumlah itu seramai 78,755 (46 peratus) yang merupakan golongan B40 telah dibantu mengubah taraf hidup keluarga dengan merealisasikan cita-cita untuk ke menara gading,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama Wan Saiful berkata keuntungan pelaburan terkumpul Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2019 turut meningkat dengan jumlah RM151.5 juta setakat suku ketiga tahun ini, selaras dengan usaha membudayakan amalan menyimpan berbanding meminjam melalui instrumen tersebut.

Prestasi itu, katanya menunjukkan peningkatan 25.9 peratus berbanding RM120.3 juta bagi tempoh yang sama pada 2018.


Wan Saiful berkata untuk tempoh sama, jumlah deposit bagi akaun SSPN turut meningkat sebanyak RM126 juta atau 18.7 peratus, iaitu daripada RM671.9 juta tahun lalu kepada RM798 juta menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga November lepas berjumlah RM5.3 bilion.

“Sementara itu sebanyak 404,676 akaun baharu SSPN juga telah dibuka hingga 30 Nov lepas, dengan keseluruhannya sebanyak 4.32 juta akaun SSPN telah dibuka sejak ia dilancarkan pada 2004,” katanya.

Wan Saiful berkata selain masih dapat mengekalkan Pensijilan MS ISO 9001:2015, PTPTN terus melakar sejarah sepanjang tahun ini apabila menerima anugerah daripada pelbagai agensi termasuk Sosial Media Excellence – Education Support sempena Malaysia Social Media Week (MSMW) 2019 dan Top DirectDebit Merchant sempena Malaysian e-Payments Excellence Awards (MEEA) 2019.

Bagi pelaksanaan manifesto kerajaan pula, PTPTN melaksanakan 75 peratus daripada empat janji yang telah dibuat sebelum ini iaitu memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam, insentif cukai kepada majikan yang membantu membuat bayaran balik tanpa memotong gaji pekerja terbabit dan bayaran setimpal atau hutang dilupuskan seluruhnya untuk pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Bagaimanapun penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua yang bergaji kurang RM4,000 sebulan belum dapat dilaksanakan kerana di luar bidang kuasa PTPTN selain melibatkan implikasi besar kepada kewangan negara,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button