Nasional

Sorotan 2019: Jerebu, rabies jadi ujian buat Sarawak

TAHUN 2019, Sarawak menjadi saksi dan mangsa kepada dua peristiwa ‘bencana’ yang saling berkait rapat dengan isu kesihatan – jerebu rentas sempadan dan wabak rabies – yang secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan keselamatan rakyatnya.

Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, kedua-dua peristiwa yang dimaksudkan, iaitu jerebu rentas sempadan dan wabak rabies ini datangnya tidak diundang, menjadi ‘buah tangan’ pahit yang harus diterima Sarawak malahan Malaysia.

Bermula Ogos, Miri menjadi bahagian pertama di Sarawak ‘diserang’ jerebu rentas sempadan yang dipercayai berasal dari Kalimantan, Indonesia, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) pernah mencecah sehingga 400, yang dikategorikan sebagai bahaya.

Diikuti dengan peningkatan drastik bacaan IPU di Sri Aman dan Kuching, yang melebihi paras bahaya akibat peningkatan asap yang dibawa angin dari Kalimantan apabila banyak titik panas dikesan, jerebu rentas sempadan turut menyelubungi beberapa kawasan di Semenanjung.

Di Semenanjung, kawasan pantai barat termasuk Lembah Klang adalah antara kawasan dilanda musibah jerebu. Kawasan Johan Setia di Selangor menjadi antara kawasan paling terjejas dengan masalah jerebu rentas sempadan sehingga pernah mencatat bacaan IPU 226, bacaan sangat tidak sihat pada satu ketika.

Jerebu teruk melanda negara pada September susulan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bertanggungjawab menyelaras tindakan-tindakan menghilangkan jerebu di negeri-negeri yang terkesan, bertindak proaktif mengatasi masalah termasuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) untuk menghasilkan hujan.

Selain ikhtiar itu, rakyat Malaysia termasuk pemerintah dan pembesar negara menunaikan solat Istisqa menolak bencana jerebu yang teruk melanda beberapa kawasan di Malaysia sejak Ogos.

Bukan sekadar mengganggu rutin harian kehidupan, jerebu juga menyebabkan peningkatan kes penyakit berkaitan sistem pernafasan malah mengakibatkan negara terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.

Antara industri yang terjejas adalah industri pelancongan serta perkhidmatan penerbangan.

Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew semasa melancarkan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, pada Oktober, industri pelancongan di Sarawak terjejas akibat jerebu dan sehingga Ogos, hanya 2.9 juta pelancong melawat Bumi Kenyalang berbanding sasaran kedatangan lima juta pelancong.

Sementara itu, wabak rabies menjadi igauan ngeri kepada sesiapa yang pernah digigit oleh haiwan peliharaan seperti anjing dan kuching yang tidak divaksin, khususnya di negeri ini ekoran penularan wabak itu yang sudahpun meragut 21 jiwa sejak ia mula dikesan pada Julai 2017.

Seperti jerebu, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menolak kemungkinan kes rabies yang berlaku di Sarawak disebabkan oleh anjing liar yang membawa virus berkenaan dari sempadan Kalimantan-Serian.

Cara jangkitan rabies ataupun dalam bahasa mudah ‘anjing gila’, adalah menerusi virus yang terdapat dalam air liur haiwan dan boleh dijangkiti melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka.

Berdasarkan kes-kes terdahulu, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia adalah kerana kurang pengetahuan untuk melakukan tindakan susulan ​​​​​​serta terdapat juga kes mangsa tidak melaporkan dan merujuk di klinik atau hospital selepas digigit oleh haiwan berkenaan.

Penekanan turut diberikan kepada pemilik-pemilik haiwan pemeliharaan supaya tidak culas dan harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk menghantar haiwan kesayangan mereka bagi menerima suntikan vaksin sebagai salah satu langkah untuk mengawal virus itu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini berkata Kerajaan Sarawak berikrar untuk melaksanakan operasi anti rabies yang lebih agresif bagi mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus anjing berjaya divaksin, bermula tahun hadapan.

​​​Program dinamakan Vaksinasi 2020 itu adalah lanjutan daripada operasi anti rabies yang dilaksanakan di seluruh negeri tahun ini termasuk sasaran untuk menghapuskan lebih banyak anjing terbiar.

Selepas melakukan enam operasi setakat ini, kadar kejayaan suntikan vaksinasi hanya mencapai 61.49 peratus daripada anggaran kira-kira 200,000 ekor anjing manakala hanya 7,584 ekor anjing dan 73 kucing terbiar dihapuskan di Sarawak.

Perkhidmatan Veterinar Sarawak pernah melaporkan bahawa bagi setiap lima ekor anjing di Sarawak, dua daripadanya adalah positif virus rabies. Maka langkah pencegahan perlu sentiasa diamalkan. – BERNAMA

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button