Nasional

Sorotan 2019: Sinar buat Kampung Baru alami pembangunan

TAHUN 2019 membawa sinar harapan buat penduduk asal Kampung Baru apabila kerajaan menawarkan untuk membeli tanah kawasan itu pada RM1,000 setiap kaki persegi bagi tujuan pembangunan semula.

Inisiatif itu bakal menyaksikan kemelut bergolak di kampung warisan berusia 120 tahun itu dapat diredakan bagi membangunkan semula masalah infrastruktur selain menangani isu kesesakan lalu lintas dan bangunan usang di kawasan itu yang tertangguh dan berlarutan sejak 1991.

Pada 21 Sept lalu, tawaran awal iaitu RM850 setiap kaki persegi telah dibuat menerusi sesi townhall kepada lebih 3,000 pemilik dan pewaris di kawasan itu, selepas kadar tertinggi itu diteliti oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta berdasarkan syarat mengekalkan kepentingan pemilikan orang Melayu.

Kadar itu dipertimbangkan semula dan dinaikkan sebanyak RM150 iaitu sehingga RM1,000 bagi setiap kaki persegi pada 24 Okt lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan sebagai berkata RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan bentuk pulangan yang dipilih pemilik, manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Katanya pemilik dan pewaris tanah boleh memilih antara empat tawaran jual beli iaitu dalam bentuk pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas.

Antara pelan pembangunan yang dicadangkan adalah projek Taman Warisan Melayu melibatkan pembinaan semula 11 rumah warisan serta pembinaan 45,000 unit rumah, termasuk rumah mampu milik bagi menarik lebih ramai orang Melayu untuk tinggal di ibu kota.

Projek pembangunan semula itu dijangka bermula Jun tahun depan jika isu pemilikan tanah dapat diselesaikan.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut membawa berita gembira buat golongan bujang B40 berusia 18 hingga 35 tahun apabila memperkenalkan Program Perumahan Bandar bagi mengatasi kesukaran mencari bilik sewa ketika bekerja di ibu kota.

Inisiatif itu telah diutarakan oleh bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz pada 2017, dan direalisasikan di bawah kepimpinan Datuk Bandar ketika ini, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada tahun ini.

Dengan kadar sewa serendah RM100 sebulan, Perumahan Bandar atau ‘Micro Housing’ yang berkonsepkan ‘capsule hotel’ pada asalnya merupakan bangunan lama yang telah diubahsuai kepada dua blok kepada penghuni lelaki dan perempuan, dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya perkhidmatan dobi, pantry, surau dan ruang istirahat.

Pengubahsuaian bangunan lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang bermula sejak Disember 2018 terbahagi kepada dua fasa dengan jumlah keseluruhan melibatkan 311 penyewa, iaitu 188 untuk fasa pertama dan 123 penyewa untuk fasa kedua, dengan konsep perkongsian antara empat hingga lima katil bagi setiap ruang.

Menariknya, inisiatif yang bermula Oktober lalu ditawarkan kepada mereka yang berasal luar dari Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan bahawa DBKL bukan hanya fokus kepada kebajikan warga kota sahaja tetapi juga golongan belia yang baru berhijrah dari negeri lain ke ibu kota.

Antara syarat kelayakan pemohon adalah berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, bekerja dalam lingkungan lima kilometer daripada lokasi perumahan awam serta tidak memiliki rumah dan kereta.

Sementara itu, dalam usaha merealisasikan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur (PBRKL) 2040, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL telah berusaha mengutamakan warga kota sebagai prioriti dalam segala pembuat keputusan, terutamanya melibatkan pembangunan mampan dan menambah baik kemudahan infrastruktur.

Dengan tagline “No One Left Behind,” dan ‘Kuala Lumpur Kita Punya’, segala perancangan dalam pelan itu perlu menyeluruh dan telus dengan mengambil kira semua warga kota pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan minoriti, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU). – BERNAMA

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button