Nasional

Sorotan 2019: 2019 saksi perubahan dalam institusi kesultanan Pahang

TAHUN 2019 menjadi tahun bersejarah dalam institusi kesultanan Pahang apabila berlaku perubahan takhta menerusi pemasyhuran Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Sultan Pahang keenam.

Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah pada 15 Jan lepas boleh dikatakan tidak dijangka memandangkan perubahan takhta lazimnya berlaku selepas kemangkatan sultan sebelumnya, sedangkan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah masih hidup semasa ia berlaku.

Bagaimanapun, ura-ura akan berlaku perubahan tampuk pemerintahan Pahang mula kedengaran atas faktor kesihatan Sultan Ahmad Shah, diikuti dengan Mesyuarat Khas Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang bersidang di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 11 Jan.

Pengumuman pemasyhuran Al-Sultan Abdullah, 60, dibuat oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman pada 12 Jan di Istana Abu Bakar, Pekan dekat sini, memaklumkan ia dipersetujui sebulat suara oleh kaum keluarga yang menerima hakikat Sultan Ahmad Shah gering dan tidak lagi boleh memikul tanggungjawab sebagai raja pemerintah.

Bagi tujuan itu, mesyuarat itu juga bersetuju meluluskan pindaan pada Bahagian 1 Perkara 9 A Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang untuk menurunkan takhta raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuat kuasa 11 Jan.

Hanya 15 hari selepas Al-Sultan Abdullah dimasyhur sebagai Sultan Pahang, negeri ini sekali lagi menyaksikan istiadat bersejarah apabila Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, 59, dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima dalam era kesultanan Pahang moden pada 29 Jan, juga di Istana Abu Bakar.

Kali terakhir gelaran Tengku Ampuan Pahang disandang berlaku 31 tahun lepas, dan lebih bermakna istiadat itu diadakan serentak dengan pemasyhuran anakanda sulung baginda berdua, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang dan seterusnya dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang sepanjang Al-Sultan Abdullah bersemayam di Istana Negara.

Tengku Hassanal, 24, yang diputerakan pada 17 Sept 1995 pada masa itu masih mengikuti latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom dan baru sahaja menamatkan pengajian pada 13 Dis lepas dan dijangka pulang ke Pahang pada awal Januari depan.

Dalam kegembiraan ‘menerima’ Sultan baharu berjiwa mulia, rakyat Pahang menerima perkhabaran duka apabila Sultan Ahmad Shah yang memerintah Pahang sejak 7 Mei 1974 mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi, 22 Mei lepas pada usia 88 tahun.

Sultan Ahmad Shah yang diberikan gelaran baharu selepas pemasyhuran Al-Sultan Abdullah iaitu Paduka Ayahanda Sultan, yang gering sejak beberapa tahun sebelumnya, menyebabkan Tengku Abdullah (gelaran semasa itu) dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang berkuat kuasa 28 Dis 2016.

Jenazah Almarhum disempurnakan di IJN sebelum diterbangkan dengan pesawat khas ke Pangkalan Udara Kuantan untuk dimakamkan di Makam Diraja Pekan pada petang 23 Mei, bersebelahan isteri baginda, Tengku Ampuan Pahang keempat Tengku Afzan Tengku Muhammad yang mangkat pada 29 Jun 1988.

Bagi menghormati kemangkatan Almarhum, Pahang berkabung selama 40 hari dengan bendera dikibarkan separuh tiang untuk tempoh tiga hari manakala tempoh berkabung bagi kerabat diraja Pahang ditetapkan selama 100 hari.

— BERNAMA

(Visited 301 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button