Nasional

Lokman Noor Adam direman sehari, bantu siasatan kes ugutan jenayah

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam direman sehari bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan terhadap Lokman telah dimulakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman selepas menerima satu laporan polis semalam.

“Siasatan adalah berhubung satu video yang dimuat naik oleh pemilik Facebook Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah dan menggunakan perkataan yang jelik sifatnya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Huzir, kes juga disiasat di bawah Seksen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan.

Jelasnya, Lokman telah ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam dan gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video yang tular juga telah dirampas

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibuat dan dibenarkan selama satu hari. Siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa menerima tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Tambahnya, semua pihak diminta memberi ruang kepada pihaknya untuk melengkapkan siasatan secara telus dan adil.

Semalam, penahanan Lokman menjadi kecoh kerana dia ditahan ketika sedang bersiaran langsung menggunakan akaun Facebooknya.

Mereka yang mengikuti siaran langsung di Facebook itu tertanya-tanya dan akhirnya terjawab apabila Lokman sendiri sempat menaikkan status bahawa dia telah ditangkap. -SM

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button