Banjir

Melaka pasang siren kecemasan banjir

JASIN 13 Jan. – Penduduk di tiga daerah yang kerap di landa banjir khususnya di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri telah bersetuju untuk memasang siren kecemasan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memberitahu pemasangan siren tersebut bertujuan untuk memberi peringatan kepada penduduk berisiko banjir jika berlaku musibah itu secara mendadak.

Menurutnya, pemasangan siren berkenaan hanya tertumpu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai dan kawasan rendah yang berisiko banjir sama ada hujan sikit atau lebat.

“Walaupun di Melaka telah dikenal pasti mempunyai 124 kawasan ‘hot spot’ kerap dilanda banjir tetapi kita akan tumpu antara 10 atau 24 lokasi utama.

“Yang pasti siren ini akan dipasang keutamaannya bagi kawasan rendah dan penduduk yang ramai. Bila hujan kawasan ini mudah dilanda banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Bemban
Maju Jaya di Dewan Serbaguna Japerun, Bemban, Jasin hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Pengerusi Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Datin Sapiah Haron.

Sulaiman berkata, lokasi bagi pemasangan siren tersebut bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar.

Menurutnya, pemasangan siren tersebut akan diselaraskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta Unit Kerajaan Tempatan (UKT) di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Sehingga pukul 12.00 tenghari ini hanya satu sahaja pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Jasin iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang menempatkan tiga keluarga membabitkan 13 mangsa.

(Visited 345 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button