Alam SekitarBanjirBencana alamNasionalpilihan

Persediaan Banjir – KPLB gerakkan JAKOA di kawasan pedalaman

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menggerakkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan penduduk di pedalaman menerima bantuan jika berlaku banjir pada musim tengkujuh nanti.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peranan JAKOA dan JKPP terbukti berkesan kerana pegawai dan pimpinan tempatan yang berpengalaman dan mengetahui selok belok kawasan masing-masing.

“Persediaan banjir ini (KPLB) dia ada prosedur operasi standard (SOP), contohnya di kawasan pedalaman kita ada JAKOA yang sudah ada SOP mereka dan nak buat apa, kalau dari 850 kampung orang asli di seluruh Semenanjung ini, dia (pegawai JAKOA) sudah tahu kawasan mana yang selalu banjir.

GAMBAR HIASAN

“Begitu juga dengan Ketua Kampung atau JPKK yang dilantik seluruh negara contohnya aliran hulu ke hilir sungai di daerah Padang Terap, mana kampung yang sebenarnya selalu banjir, yang tepi sungai ini dia sudah hafal sepatutnya dan dia akan ambil tindakan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gerakan Veteran UMNO ‘Keluarga Ku Pengundi BN’ di sini, hari ini.


Jabatan Meteorologi Malaysia (Met) sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai November depan dan berisiko menyebabkan banjir besar.

Cuaca buruk juga diramal melanda negara kerana Monsun Timur Laut aktif pada bulan itu yang membawa hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar dijangka berlaku.

Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap di Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di Kuala Nerang hari ini. Foto: UKK KPLB

Selain JAKOA kata Mahdzir, semua agensi KPLB juga akan memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi bencana banjir.

Menurutnya, setiap agensi KPLB sudah mempunyai sasaran kawasan yang sering terjejas.

“Seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), mereka jaga pekebun-pekebun kecil, mereka juga tahu kawasan mana sering berlaku banjir dan mereka ada sasaran apa benda yang mereka patut buat dan semua agensi sudah ada peranan masing-masing dan sasaran mereka,” kata Mahdzir. – SM

Artikel berkaitan > Agensi KPLB siap sedia hadapi musim Monsun

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button