Mahkamah

Saksi ke-87 ‘memandai-mandai’ bayar kontraktor tanpa arahan Ahmad Zahid

SAKSI ke-87, Muralidharan A/L Balan Pillai memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau membuat keputusan sendiri bayaran melalui cek-cek berjujmlah RM5.9 juta kepada kontraktor tanpa arahan daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Muralidharan (Murali) turut memberitahu mahkamah, beliau beranggapan boleh membuat bayaran daripada duit Yayasan Akal Budi yang ada dalam Simpanan Tetap (FD) di bawah akaun Firma Lewis & Co tanpa mendapat arahan Ahmad Zahid.

Justifikasi tindakan Murali ialah beliau menguruskan akaun yayasan tersebut dan duit dimasukkan ke dalam akaun klien Lewis & Co.

Untuk rekod, Murali bersama Premshangar Venugopal adalah rakan kongsi dalam Tetuan Lewis & Co.Terdahulu, Premshangar tampil sebagai saksi pendakwa dalam prosiding bicara Presiden UMNO, Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datoh.

Ahmad Zahid berhadapan dengan pertuduhan pecah amanah membabitkan Yayasan Akal Budi, pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Prosiding perbicaraan seperti biasa dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang masuk hari ke-37, hari ini.

Murali berkata demikian dalam pemeriksaan balas prosiding perbicaraan Ahmad Zahid yang diketuai Peguam Hisyam The Poh Teik.

Pada 9 Januari 2018, Murali mengakui telah mengarahkan akauntan Lewis & Co, Sothilechmy A/P Veerapan, memasukkan dua keping cek Maybank ke dalam akaun klien Lewis & Co.

Pada 11 Januari 2018, kata Murali, beliau telah mengarahkan akauntan berkenaan untuk menyediakan satu cek Lewis & Co bagi dibuat bayaran kepada Teknik Sempurna Sdn. Bhd.

Tindakan itu dilakukan sendiri oleh Murali tanpa arahan tertuduh kerana menggunakan budi bicaranya sendiri.

Murali ketika menjawab soalan balas Hisyam berkata, beliau menggunakan duit daripada cek-cek berjumlah RM5.9 juta untuk membuat bayaran kepada kontraktor.

Dua minggu lalu, Murali dengan yakin memberitahu mahkamah bahawa beliau boleh mendapatkan surat daripada Datuk Seri Nasaie sebagai bukti,  Nasaie mengetahui tentang arahan daripada Ahmad Zahid kepada Murali untuk membuat bayaran selaku pemegang amanah Yayasan Al-Falah.

Bagaimanapun, apabila Murali diminta untuk mengemukakan surat yang disebut oleh Murali daripada Nasaie, beliau gagal.

Murali turut memberitahu mahkamah pada 14 Ogos lalu, ada menerima cek-cek daripada Ahmad Zahid dan menggunakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co untuk membayar Noble Energy Construction.

Kata Hisyam, “dalam erti kata lain, anda menggunakan budi bicara (discreation) sendiri untuk menggunakan duit dari cek-cek secara totalnya berjumlah RM5.9 juta untuk membayar kontraktor.”

Jawap Murali, “ya Yang Arif.”

Pemerikasaan balas ke atas Murali disambung oleh Peguam Hamidi Mohd. Noh.

Peguam: Anda tahu disebabkan akaun dibekukan, bayaran tidak dapat dilakukan. Duit nak bayar tidak lepas. Disebabkan akaun beku, tiada pembayaran boleh dibuat. Dua bangunan telah dibeli, satu untuk kerja pengubahsuaian tidak dapat dilakukan.

Murali: Tidak tahu.

Peguam: Kerja-kerja pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datoh dan pembinaan Mahad Tahfiz Antarabangsa di Bagan Datoh yang sepatutnya siap pada September 2019 tidak dapat diteruskan.

Murali: Tidak tahu.

Peguam: Kerja pengubahsuaian di Melaka dan pembayaran gaji pekerja penyelenggaraan juga tidak dapat dilakukan. Anda tahu?

Murali: Tidak tahu.

Peguam: Pembekuan akuan membuatkan tiada bayaran boleh dilakukan dan anda beranggapan, mengendalikan akuan tanpa mendapat arahan Datuk Seri adalah dibenarkan. Itu sahaja. Tiada soalan lagi Yang Arif. – SM

 

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button