Mahkamah

Pekerja swasta tak mengaku salah hina Fuziah

SEORANG pekerja swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menghina bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh di laman sosial Facebook, dua tahun lalu.

Pengakuan Mohd Azmi Ismail, 55, yang berasal dari Taman Berjaya Permai Kempadang di sini, direkodkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memuat naik kenyataan yang mengandungi elemen lucah terhadap Fuziah di akaun Facebook milik tertuduh pada 10.45 pagi, 23 Ogos 2018 di sebuah premis perniagaan di Jalan Beserah di sini, dengan menggunakan telefon bimbit Vivo Y21 miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat mahu mengaibkan Fuziah, yang merupakan Ahli Parlimen Kuantan yang dilantik menganggotai Kabinet semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan hendaklah didenda RM1,000 setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan bulanan RM1,900 yang digunakan untuk menampung seorang isteri dan lima anak.

“Tertuduh hanya membawa RM2,000 hari ini kerana hanya dimaklumkan mengenai pendakwaan terhadapnya pada petang semalam, menyebabkan mereka agak terkejut memandangkan kes ini disiasat dua tahun lalu. Mungkin tertuduh dapat mengumpul lebih banyak wang jika diberitahu awal.

“Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di penjara sejak akhir-akhir ini dan berharap mahkamah dapat memberikan jaminan yang boleh dijelaskan tertuduh supaya dia tidak dihantar ke penjara,” katanya.

Siti Aminah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Nov ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh. — BERNAMA

 

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button