fbpx
Nasional

PKPD di Plaza Hentian Kajang dilanjutkan 14 hari lagi – Ismail Sabri

JABATAN Imigresen telah mengusir pulang 31,282 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan warga Indonesia paling ramai, 14,072 orang.

Sehingga 5 November baru-baru ini, turut diusir pulang ke negara asal masing-masing ialah warga Bangladesh (4,551), Myanmar (2,898), Thailand (2,200), India (2,189), China (1,856), Pakistan (1,230), Vietnam (647), Nepal (397), Filipina (298) dan lain-lain (944).

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian pada rutin harian sidang akhbar petang tadi.

Beliau berkata, bagi memastikan kemasukan PATI tidak terus membanjiri negara, orang ramai diminta agar membantu pihak penguatkuasa berhubung PATI dengan menyalur maklumat pada talian 01162511223 dan mengekang jenayah rentas sempadan dalam keadaan negara berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19.

Pada sidang akhbar yang sama, secara kumulatif, beliau berkata, seramai 9,711  daripada 63,519 individu yang pulang ke tanah air telah menjalani kuarantin wajib di 67 buah hotel dan 21 premis termasuk di Institut Latihan Awam (ILA).


Pusat kuarantin, tambah Ismail Sabri lagi, juga dibuka di Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak termasuk di Labuan.

“Sebanyak 384 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 53,424 individu dibenarkan pulang ke rumah sejak 24 Julai lalu,” ujarnya.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan membuatkan timbul kebimbangan rakyat bekalan makanan tidak mencukupi.

Kata Ismail Sabri, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP telah membuat 672 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan makanan termasuk di peringkat peruncit (499), pemborong (145) dan pengilang (28).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan dan mudah diperolehi,” kata beliau.

Sementara itu, kata Ismail Sabri lagi, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor.

“Tempoh lanjutan ini adalah selama 14 hari bermula pada 11 November sehingga 24 November ini,” katanya.

Beliau juga berkata, KKM masih meneruskan saringan secara bersasar dan sehingga kini, masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 yang dikesan di lokaliti tersebut. – SM

(Visited 74 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button