Nasional

Helikoter terhempas: Polis rakam percakapan 7 saksi

POLIS sudah merakam percakapan tujuh saksi dan telah mengenal pasti 20 lagi saksi lain berhubung kejadian helikopter terhempas di Taman Melawati, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, proses bedah siasat kedua-dua mangsa, Mohahad Sabri Baharom (juruterbang) dan Mohd. Irfan Fikri Mohamed Rawi (penumpang) juga telah selesai kira-kira pukul 1 petang tadi.

“Kedua-dua jenazah telah diserahkan pada waris masing-masing untuk dikebumikan.

“Keputusan penuh hasil bedah siasat akan dikemukakan setelah mendapat laporan penuh makmal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai supaya tidak mengedarkan video atau gambar berkaitan insiden di media sosial, bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta menganggu siasatan.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut boleh tampil ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan atau menghubungi talian telefon 03-4289 7343 atau 03-4289 7344 untuk menyalurkan maklumat.

Semalam, penduduk sekitar Taman Melawati kecoh selepas sebuah helikopter terhempas dan kejadian tersebut sempat dirakam penduduk sekitar.

Dua lelaki maut dalam insiden tersebut manakala dua lagi termasuk seorang wanita yang berada di sebuah helikopter lain berjaya mendarat dengan selamat.

Media melaporkan bahawa helikopter berwarna biru yang terhempas itu diterbangkan oleh Mohamed Sabri Baharom manakala sebuah lagi diterbangkan oleh Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS).

Mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Jauhari, 66, dan Tan Chai Eian, 51, hanya mengalami kecederaan ringan. -SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button