Nasional

Penanam getah, pisang pilih tanam pokok ketum

Anak pokok ketum laris, harga naik lebih sekali ganda

BARU-BARU ini Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan meminta kerajaan Persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum khususnya ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Beliau berkata, permintaan tinggi daun ketum di negara ini menyebabkan harganya mencecah sehingga RM30 sekilogram.

Walaupun harga meningkat lebih sekali ganda, pembekal anak pokok ketum di Padang Terap tidak menang tangan dengan permintaan tinggi daripada pengusaha kebun susulan cadangan untuk membenarkan tanaman itu bagi tujuan perubatan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, ramai penanam getah dan pisang mula menukar tanaman mereka kepada ketum.

Dan penduduk khasnya di kawasan luar bandar Padang Terap, Pendang dan Kubang Pasu juga semakin berminat dengan tanaman itu disebabkan daunnya laris di pasaran.


Seorang pembekal yang hanya mahu dikenali sebagai Somchit, 54, dari Naka berkata, permintaan pokok ketum melonjak selepas kerajaan Thailand membenarkan penggunaan daun itu sejak tahun lalu dan cadangan kerajaan Kedah kepada Putrajaya untuk membenarkan tanaman itu bagi tujuan perubatan.

“Sebelum ini, anak pokok ketum dijual pada harga RM2 hingga RM3 sepokok tetapi sekarang melonjak antara RM5 hingga RM8 sepokok.

“Walaupun semakin mahal, tetapi permintaan sangat menggalakkan,” katanya dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Somchit berkata, beliau menyediakan 300 hingga 500 anak pokok ketum untuk dijual setiap bulan dan terpaksa membuat tem­pahan dua atau tiga bulan daripada pembekal disebabkan permintaan tinggi.

Seorang lagi pembekal yang dikenali sebagai Ramli, 58, dari Kampung Lampam menyemai anak pokok ketum dengan mengumpul buah ketum dan menggunakan teknik keratan batang.

Katanya, anak pokok ketum dari keratan batang mendapat permintaan tinggi disebabkan pokoknya tahan lasak.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah petani dari seluruh ne­geri ini,” katanya. – UTUSAN MALAYSIA – SM

 

(Visited 357 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button