Nasional

MAIPs agih hampir RM13 juta sepanjang pandemik

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengagihkan sebanyak RM12,880,317 bagi keseluruhan program ‘Inisiatif MAIPs menangani Covid-19’ bagi tahun 2020 dan 2021.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4,688,267 telah diagihkan oleh MAIPs bagi tahun 2020 manakala RM8,192,050 pula diagihkan untuk tahun 2021.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM 12,000 sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 22 bagi tahun 2021 yang diadakan di Masjid Al Falah, Kg Behor Mempelam, Arau petang tadi.

Sumbangan tersebut diterima oleh amil kariah tersebut Idris Ali yang mewakili 29 asnaf kariah masjid berkenaan. Masing-masing menerima RM400 setiap seorang.


Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah pembukaan Kaunter Agihan Terhad di Masjid Alwi, Program Perlis Mengaji, Agihan Bekalan Makanan Ziarah Dakwah Bil Hal, serta Agihan Bantuan Khas Rangsangan Asnaf untuk 14,679 orang bagi tahun 2020 dan 18,179 penerima bagi tahun 2021 tanpa perlu memohon dan dikreditkan terus ke dalam akaun’.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Selain itu, antara inisiatif lain yang diadakan adalah pengecualian dan pengurangan sewaan hartanah MAIPs, Agihan Makanan melalui kerjasama NGO dan petugas barisan hadapan serta Bantuan Kecemasan MAIPs melalui Masjid pada sepanjang masa’.

Sementara itu, Mohd Nazim Mohd Noor menjelaskan bahawa ‘Sekitar 11 inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu mereka yang berkeperluan di negeri ini. Baginda Tuanku Raja Perlis telah memperkenankan inisiatif-inisiatif berkenaan yang diterajui sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan semua inisiatif ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan Covid-19 selain merupakan amanah oleh para muzakki yakni penyumbang zakat yang perlu ditunaikan oleh MAIPs”.

(Visited 15 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button