Nasional

Kerajaan prihatin status pegawai perubatan, pergigian, farmasi lantikan kontrak

KKM diarah rangka pelan komprhensif, inklusif

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) diarah merangka satu pelan komprehensif dan inklusif yang merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan panjang berhubung status pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak dan sedar sumbangan serta peranan mereka sebagai barisan hadapan amat penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.

“Bagi memastikan perkara ini diberikan perhatian penuh dan ditangani secara menyeluruh serta lebih berkesan, saya telah mengarahkan KKM serta agensi yang berkaitan merangka sebuah pelan komprehensif dan inklusif merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang.

“Sebagai langkah penyelesaian segera, Kabinet bersetuju supaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak (contract of service) untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu kertas cadangan telah dibentangkan kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lalu berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.


Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama kata Muhyiddin.

Katanya lagi, langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Perdana Menteri juga berkata, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

“Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

“Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” kata beliau.

Tambah beliau, keputusan-keputusan itu juga akan memberi ruang kepada Kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang Covid-19, katanya.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan kebajikan dan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil,” kata Muhyiddin dalam kenyataan yang sama. – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button