Nasional

Integriti benteng gejala rasuah – Raja Muda Perlis

Integriti dalam diri adalah benteng yang paling kukuh dalam menjauhi dan membanteras daripada berlakunya gejala rasuah.

“Sekiranya jiwa seseorang itu cukup kental menangkis ‘kuasa wang’, maka integriti dan amanahnya tidak akan dapat dipertikaikan”.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik pelancaran ‘Hari Integriti Nasional Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Berintegriti’ yang diadakan di Masjid Darul Ulum, Kg Wang Ulu Bintong, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang disekalikan dengan aktiviti ‘Hijrah Minda MAIPs kali ke 23 bagi tahun 2020’ itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Penolong Penguasa Zurazman Noh dari Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis yang turut menyampaikan ceramah berkaitan isu integriti.

Mohd Nazim pula menambah bahawa hukuman keras dan menggerunkan bukanlah benteng utama dalam menangani isu rasuah, sebaliknya ia memerlukan sikap jujur dan berintegriti dengan tidak menggadai atau menjual amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan.

Di majlis yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua turut berkenan menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada golongan asnaf dari kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Untuk rekod, sejak 2005, Kerajaan Malaysia mengistyharkan 5 November setiap tahun sebagai ‘Hari Integriti Nasional’ yang mana pada tahun ini ia mengangkat tema “Integriti Penentu Kejayaan Budaya Kerja Norma Baharu” bermatlamatkan untuk membudayakan integriti dan memupuk nilai murni sejagat serta tadbir urus dalam masyarakat.

Turut diadakan ialah promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs, Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Malaysia Negeri Perlis.

(Visited 383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button