Belang Bertempat

Bajet paling kurang tepukan

BAJET atau belanjawan yang sepatutnya luar biasa, bagi menangani situasi luar biasa, akhirnya menjadi biasa-biasa sahaja.

Bajet sebelum-sebelum ini lebih ramai ahli parlimen menepuk meja dan rakyat bertepuk tangan gembira. Kali ini lebih ramai yang menepuk dahi.

Bajet sepatutnya menjadi penenang rakyat yang gelisah dalam situasi ekonomi yang memburuk dan pandemik virus korona pula tidak juga reda dengan pelbagai langkah mengehadkan pergerakan rakyat.

Bahkan lagi sukar rakyat bergerak, lagi terbantutlah ekonomi dan menderita rakyat.

Di negara jiran langkah kerajaan mengehadkan pergerakan langsung tidak dihirau kerana keluar bekerja mencari sesuap nasi lebih penting daripada duduk di rumah dan memutuskan rantaian pandemik, sedangkan tiada makanan yang dapat dihidang bagi mengisi perut.

Rakyat juga telah mula turun ke jalan membantah kerajaan, tetapi di negara kita rakyat masih bersabar.

Di Malaysia walaupun banyak juga berdepan dengan situasi getir itu, tetapi masih lagi bertahan dengan harapan kerajaan akan memahami dengan apa yang dihadapi.

Mereka yang terlibat di dalam sektor pelancongan langsung tidak dipandang walaupun sebelah mata oleh kerajaan kerana telah dianggap tiada lagi harapan untuk dipulihkan dalam keadaan sekarang.

Jadi mereka yang menjalankan usaha di dalam bidang itu yang pernah menjadi sumber pendapatan utama negara, kini perlu mencari bidang perniagaan yang lebih baik.

Daripada apa yang dibentangkang kerajaan tidak langsung menyentuh bidang berkenaan, seolah-olah sektor pelancongan terus dianak tiri.

Lebih mengejutkan lagi sepatutnya kerajaan memastikan sektor pertanian terus diperkukuhkan kerana ia mewujudkan banyak peluang kerana permintaan yang tidak putus dan sebahagian besar keperluan masih diimport, tetapi ia tidak berlaku sedemikian.

Pertanian yang sebelum ini dikatakan satu perniagaan juga tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Permintaan rakyat supaya dibenarkan mengeluarkan sebanyak RM10,000 daripada akaun 1 KWSP juga tidak dipedulikan.

Ramai yang merancang untuk melaksanakan perniagaan, atau pertanian atau penternakan secara kecil-kecilan dengan duit itu juga tidak menjadi kenyataan.

Kerajaan hanya membenarkan pengeluaran RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi mereka yang benar-benar terjejas sahaja, iaitu kehilangan pekerjaan.

Peruntukan besar lebih RM80 juta untuk Jasa iaitu sebuah agensi kerajaan yang dihidupkan semula bertujuan menjadi jentera gerak saraf politik kerajaan menimbulkan rasa sangat kecewa.

Bermakna belanjawan kali ini tidak mencakupi rakyat keseluruhan, tetapi lebih kepada segmen tertentu yang tidak dapat lari kepentingan pihak pemerintah semata-mata.

Golongan yang paling kecewa ialah berpendapatan sederhana yang merupakan majoriti rakyat negara ini. Kerajaan melayan seolah-olah anak tiri yang pandailah masing-masing untuk hidup sendiri.

Melihatkan situasi itu, entah di mana kewajarannya belanjawan ini harus disokong untuk diluluskan.

Walaupun kerajaan merayu agar semua pihak menyokongnya, demi rakyat, tetapi ia diihat lebih kepada demi kelangsungan politik sempit kerajaan.

Kita hanya ada bajet biasa-biasa sahaja, oleh pemimpin biasa-biasa sahaja untuk menangani situasi yang luar biasa.

Jadi kita tidak boleh berharap hasil yang luar biasa sebagaimana jangkaan di dalam bajet ekonomi negara akan berkembang lebih 4 peratus pada tahun hadapan.

Jadi kita harus membiasakan diri dengan kerajaan yang biasa-biasa sahaja. Jika suatu ketika kita pernah dianggap Sang Belang ekonomi Asia, tetapi itu hanya tinggal kenangan.

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button