Nasional

Dakwaan atas pemimpin PH sumbang peningkatan barometer rasuah?

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkaitan dapatan Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020 yang diterbitkan oleh Transparency International.

Kit Siang mengutarakan soalan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Transparency International mendapati 71% rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan adalah satu masalah yang besar.

Kajian itu juga mendapati 39% rakyat Malaysia merasakan yang rasuah telah meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

“Memandangkan pada hari esok, Parlimen akan mempertimbangkan Belanjawan 2021 untuk SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM patut membentangkan satu laporan dapatan SPRM mengenai Malaysia daripada Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020 sebelum persidangan Parlimen bermula.

“Supaya ahli-ahli Parlimen dapat berbahas dengan maklumat terkini mengenai belanjawan tahun hadapan suruhanjaya melawan rasuah tersebut. Perkara ini selari dengan SPRM memenuhi tanggungjawab akauntabilitinya kepada Parlimen,” kata Kit Siang.

Najib mendakwa, sejak 12 bulan yang lepas hampir semua kes-kes rasuah berprofil tinggi melibatkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Plus.

Ini termasuk kes rasuah terowong RM6.34 bilion melibatkan anak Kit Siang iaitu Lim Guan Eng.

“Adakah pertuduhan-pertuduhan rata-rata pemimpin PH termasuk anak dia dalam tempoh 12 bulan lalu merupakan penyumbang terbesar kenapa 39% rakyat Malaysia merasakan yang rasuah telah meningkat dalam tempoh 12 bulan yang lepas?” tanya Najib.

Antara pemimpin PH yang turut didakwa termasuk Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony berkaitan pengubahan wang haram. Peter dituduh atas kes dakwaan salah laku urus niaga tanah RISDA di Tongod beberapa tahun lalu.

Beberapa bekas setiausaha menteri PH ketika ini berhadapan dengan pertuduhan rasuah antaranya bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad didakwa menerima ganjaran bagi mendapatkan kelulusan perancangan pembangunan yang membabitkan kerugian RM1 juta.

Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu didakwa atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta daripada sebuah syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.

Bekas setiausaha sulit kanan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi didakwa atas 18 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3.1 juta berkaitan projek perkhidmatan pengiklanan pelancongan.

Barometer Rasuah Global untuk Asia 2020 yang dikeluarkan empat hari lalu juga mendapati 30% rakyat Malaysia merasakan bahawa kerajaan tidak melakukan yang terbaik dalam memerangi rasuah.

Peratusan rakyat yang merasakan golongan dalam institusi berikut adalah korup iaitu presiden/perdana menteri (2-5%), ahli Parlimen (36%), pegawai kerajaan (28%), pegawai kerajaan tempatan (18%),
polis (30%), hakim (13%) dan pemimpin agama (9%).-SM

 

 

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button