Nasional

Harga murah, sorok bekalan minyak masak

SUSULAN kes peniaga yang didakwa menyembunyikan stok bekalan seperti minyak paket, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bakal mengenakan tindakan bagi mereka yang didapati sengaja atau cuba menyorok barang kawalan itu.

Jelas KPDNHEP minyak masak merupakan barang kawalan berjadual dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana pihak yang berurusniaga dengan komoditi ini perlu mempunyai suatu lesen yang dikeluarkan KPDNHEP.

Tambahan, bagi mereka yang dikesan menyembunyi stok bekalan itu tindakan bakal dikenakan, dibawah Seksyen 15, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Manakala bagi pihak yang berurusniaga tanpa lesen boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 16, Akta yang sama dengan denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta.

Kementerian itu juga sempat berkongsi punca berlakunya masalah ini adalah disebabkan harga kawalan yang rendah iaitu RM 2.50 bagi minyak masak.

Jurang harga yang ketara di antara minyak masak subsidi polibeg 1 kilogram dengan minyak masak botol 5 kilogram telah menyebabkan minyak masak polibeg tersebut mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengguna.

Walaupun Kerajaan telah menetapkan minyak masak subsidi polibeg 1 kilogram hanya untuk kegunaan isi rumah domestik, peniaga-peniaga kecil dan sederhana turut mengambil peluang untuk menggunakan minyak masak polibeg tersebut bagi mengurangkan kos operasi dalam perniagaan mereka.

Pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh peniaga dalam satu-satu masa telah mengakibatkan bekalan minyak masak polibeg itu sering kehabisan stok di kedai-kedai runcit dan pasaraya.

Selain itu, harga yang rendah berbanding negara-negara jiran telah menyebabkan minyak masak polibeg di Malaysia menjadi antara barangan yang sering diseleweng dan diseludup keluar. Aktiviti ini tidak dinafikan turut menjadi punca berlaku kekurangan minyak masak subsidi polibeg 1 kilogram di pasaran tempatan.

Pada tahun ini sehingga 28 Mac 2022, KPDNHEP telah menjalankan 8,843 pemeriksaan ke atas premis-premis yang terbabit dengan urusniaga minyak masak, 25 kertas siasatan telah dibuka dan 94 premis masih dalam tindakan pengauditan.

Setakat ini, 15 syarikat pembungkus telah digantung kuota skim minyak masak (COSS) dan 5 syarikat pemborong telah digantung lesen urusniaga minyak masak (Lesen Borong CSA). – SM

(Visited 553 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button