Nasional

Sabah kini berada dalam krisis – Dr. Noor Hisham

JANGKITAN Covid-19 di Sabah kini berada pada tahap krisis dengan pertambahan kes Covid-19 pada setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah memerlukan pertambahan sumber manusia dalam mengekang dan merawat jangkitan virus Covid-19.

“Jadi kita lihat sekarang ini kita berada dalam keadaan krisis dan yang pasti krisis di negeri Sabah kita melihat peningkatan kes setiap hari.

“Dalam keadaan biasa kita cukup dari segi sumber manusia untuk menjalankan atau memberikan perkhidmatan kesihatan tetapi sekarang kita berada dalam krisis,” kata Dr. Noor Hisham dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menjawab soalan wartawan mengenai satu hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia yang meminta masyarakat tampil untuk menjadi sukarelawan perubatan.

Kata Dr. Noor Hisham, pihak KKM akan menggunakan pendekatan mengunakan seluruh sumber tenaga kerajaan dan menggunakan seluruh sumber tenaga masyarakat dalam mengekang penularan wabak tersebut.

Ketika ini pendekatan seluruh sumber kerajaan telahpun diguna dan kini KKM terbuka dengan pendekatan menggunakan seluruh sumber awam melalui sukarelawan dan badan bukan kerajaan.

“Inilah kita boleh guna pakai tenaga jiwa untuk membantu kita terutamanya di pusat rawatan risiko rendah dan juga di lapangan iaitu kesihatan awam,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau berkata sehingga kini lebih 700 anggota KKM telah dimobalisasikan untuk menangani situasi penularan Covid-19 di Sabah.

Pasukan itu dihantar bagi membantu menangani penularan Covid-19 di Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kota Kinabalu yang telah dimulakan sejak awal peningkatan bilangan kes dikesan.

“Sehingga 14 Oktober sejumlah 492 orang anggota Perubatan dan 52 orang anggota Kesihatan Awam telah digerakkan secara dalaman negeri Sabah.

“Sehingga tarikh yang sama juga, sejumlah 175 orang anggota Perubatan dan 48 orang anggota Kesihatan Awam telah digerakkan dari lain-lain negeri ke negeri Sabah,” kata Dr. Noor Hisham.

Secara keseluruhannya setakat ini 767 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang telah digerakkan ke kawasan terbabit.

Katanya, lebih banyak anggota KKM akan digerakkan bagi membantu situasi di Sabah, dan negeri-negeri lain yang mengalami kenaikan kes COVID-19.

“Sukarelawan perubatan dan kesihatan adalah terus diseru untuk turut bersama-sama KKM membantu dalam menjayakan usaha menangani gelombang ketiga ini,” rayu Dr. Noor Hisham.

Koordinasi adalah dijalankan oleh pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Sukarelawan berminat diminta menghubungi e-mel: [email protected], [email protected].

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button