Teknologi

Dua syarikat bangunkan teknologi drone di Malaysia

Malvus Sense Sdn Bhd dan Chengdu JOUAV Automation Tech Co., Ltd. telah mengumumkan kerjasama strategik dengan menggabungkan kemahiran dua syarikat yang menyediakan perkhidmatan berasaskan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan pengeluar UAV yang berpengkalan di Chengdu, China bagi menyediakan dan menawarkan perkhidmatan kepada pengguna serta industri berkaitan dengan UAV di Malaysia.

Malvus Sense memainkan peranan sebagai rakan kongsi yang akan mengendalikan penyelenggaraan dan perkhidmatan integrasi sensor untuk JOUAV. Malvus Sense bertanggungjawab menubuhkan ‘Advanced Integration Line’ di pusat operasinya yang terletak di Nilai yang menepati semua peraturan dan piawaian serta kualiti yang telah ditetapkan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bagi menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Ketua Pegawai Eksekutif Malvus Sense Sdn Bhd, Dr. Syed Omar Syed Mohamad dan Pengarah Pemasaran Asia Pacific, Janet Peng yang mewakili OUAV Automation Tech Co., Ltd.

Dr. Syed Omar yang berasal dari Perlis dalam ucapannya berkata, “Kami sangat teruja untuk mengumumkan perkongsian strategik ini dengan JOUAV, rakan kongsi jangka panjang kami dalam industri. Kerjasama ini mewakili langkah penting ke hadapan dalam misi kami untuk menyampaikan perkhidmatan UAV yang inovatif kepada pelanggan kami Bersama-sama, kami akan memanfaatkan kekuatan gabungan kami untuk menetapkan tanda aras piawaian kecemerlangan terkini dalam industri, selaras dengan aspirasi kerajaan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Teknologi Drone Malaysia 2030 (MDTAP30)”.

Beliau memaklumkan kepada Tuanku Raja Muda Perlis bahawa Syarikat Malvus Sense juga akan memanfaatkan kepakaran kejuruteraan mereka yang bertauliah serta alat ganti tulen dan eksklusif bagi menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan yang komprehensif untuk pelbagai model UAV, memastikan keperluan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) yang cepat untuk semua pelanggan sasaran mahupun sedia ada di rantau ini.

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button