Sukan

KBS lulus RM200,000 baik pulih dewan lama Kampung Tok Pi

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia meluluskan peruntukan awal sebanyak RM200,000 bagi tujuan baikpulih dan naik taraf dewan lama Kampung Seberang Top Pi Kuala Perlis kepada Pusat Komuniti Belia di bawah program Rakan Muda.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia,Hannah Yeoh kepada Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Kayuhan MAIPs Peduli Kali ke 44 Tahun 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kuala Perlis.

Berangkat sama ialah anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Hannah Yeoh, beliau berharap agar proses pelaksanaan berkenaan dapat disegerakan bagi memberikan impak kepada komuniti setempat khususnya kepada warga belia yang merupakan aset penting masa depan negara.

” Saya berhasrat untuk menjalinkan pusat komuniti ini dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang dapat melaksanakan program-program pemerkasaan komuniti bagi meluaskan lagi impak pewujudannya,” jelas beliau.

Hannah Yeoh turut berkongsi keterujaannya apabila dapat bersama dalam program turun ke lapangan yang diterajui sendiri oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis.

Sementara itu Dr. Zainah berkongsi pandangan bahawa program seumpama ini adalah penting dalam memastikan tiada pihak yang terpinggir dan berharap agar pemerkasaan belia dalam komuniti dapat dilaksanakan melalui beberapa entiti di bawah Kementerian Belia dan Sukan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan lain-lain lagi di masa hadapan.

Di akhir program Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan agar semua pihak menghargai golongan belia sebagai aset penting negara ini.

Titah Baginda, golongan belia mesti diberikan peranan penting seperti mempertahankan keselamatan negara, melaksanakan, menjadi agen lonjakan ekonomi serta termasuk terlibat dalam menentukan dasar dan halatuju negara.

Tuanku Pemangku Raja diiringi delegasi peserta program kayuhan, singgah bagi menyantuni tiga buah keluarga asnaf di sekitar Kuala Perlis di rumah masing-masing.

Baginda turut berkenan berangkat ke tapak cadangan naiktaraf dewan komuniti kepada pusat aktiviti belia serta menyaksikan aktiviti sepak raga tuju di Dewan Serbaguna Kuala Perlis.

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button