Ekonomi

My E-Food, aplikasi alternatif kepada pencari makanan halal

TIDAK sia-sia, masa ketika seluruh negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dimanfaatkan dengan mencari peluang niaga.

Malah, usaha selama lebih dua bulan membina aplikasi khas itu membuatkan seorang anak muda berjaya menghasilkan apps ‘My E-Food’.

Peluang tersebut diintai ketika hampir tiga bulan negara berhadapan dengan PKP untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan menerusi aplikasi dalam talian (online).

Kewujudan My E-Food juga memberi pilihan kepada rakyat Malaysia yang mencari makanan halal dan dimasak oleh tukang masak Melayu dan beragama Islam.

Alternatif diwujudkan sebagai pilihan kepada pengguna yang mahukan menu-menu makanan ala ‘warung’ dan juga ‘street food’.

“Semua ini bermula sejak PKP, kerana saya memikirkan kaedah tawaran perkhidmatan dan menjana pendapatan ketika negara sedang berhadapan dengan normal baharu.

“Justeru, sebaik sahaja apps My E-Food siap sekitar Mei dan diuji beberapa kali. Pada bulan Julai, kawasan seperti Segamat dan Batu Pahat menjadi ‘pilot test’ kami.

“Kami mula menghubungi kedai, gerai makan di sana. Sambutan di sana amat menggalakkan dan ia mula berkembang dan berpotensi.

“Kemudian kami gerakkan di sekitar Lembah Klang seperti Subang, Bukit Jalil, Puncak Alam dan Kuala Lumpur.

“Kini kami ada lebih 500 pengguna, 200 peniaga dan 80 penghantar makanan.”

Demikian kata pengusahanya, Mohd. Shahrizat Jasmi ketika ditemui Suara Merdeka hari ini.

Menurutnya, My E-Food tiada masalah untuk menyaingi penyedia perkhidmatan yang lebih dominan dalam pasaran tempatan.

Malah, beliau turut menjelaskan My E-Food mempunyai kekuatan tersendiri dan menyediakan makanan yang tidak disediakan oleh e-hailing food lain.

“Selain memastikan makanan dimasak oleh tukang masak Melayu dan beragama Islam, kita juga mengenalpasti gerai-gerai yang belum pernah menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Jadi itu adalah peluang yang perlu direbut dan kita berjaya mendapatkan vendors seramai yang mungkin terutama dekat kawasan pilot test,” jelasnya.

Kata Mohd. Shahrizat lagi, beliau melihat My E-Food ini berkembang dan mengenalpasti potensinya untuk terus meluaskan liputan aplikasi tersebut.

Malah beliau memaklumkan mempunyai pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengembangkan lagi penggunaan My E-Food.

“Dalam jangka masa pendek, kami berhasrat untuk mengukuhkan dahulu jenama My E-Food dan berusaha meningkatkan pesanan antara 100 hingga 500 sehari.

“Malah kami sedang meneroka potensi beberapa kawasan lagi di Lembah Klang, Ipoh dan Melaka.

“Bagi jangka masa panjang pula, kami akan perluaskan lagi perkhidmatan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Malah kami turut mengintai potensi di negara jiran seperti Singapura dan Brunei kerana mempunyai budaya makanan yang sama dengan Malaysia,” katanya.

(Visited 733 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button