Ekonomi

Gading Kencana meterai MoU RM4.1 bilion dengan March Global LLC Arab Saudi

SYARIKAT pengendali ladang solar terbesar dalam negara dan disegani, Gading Kencana Sdn Bhd menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan March Global LLC Arab Saudi bernilai RM4.1 bilion.

Kerjasama di antara kedua-dua pihak adalah untuk membangunkan ladang solar bernilai RM4.1 bilion di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asean.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani di Ekspo 2020 Dubai.

Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Muhamad Guntor Tobeng berkata, MoU itu meliputi aktiviti, urus niaga, perhubungan, kontrak dan kerja yang berkaitan dengan pembangunan ladang solar  dengan tumpuan utama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

“Rantau MENA dipilih kerana ia mempunyai potensi besar dalam penerokaan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan perkembangan global semasa yang mahu mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga konvensional,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, MoU itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada syarikat dari Malaysia yang membuktikan Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui khususnya solar yang mampu memainkan peranan di peringkat global melalui kerjasama tersebut.

Katanya lagi, kerjasama pertama di antara Gading Kencana dan March Global adalah untuk membangunkan ladang solar di Khulais, Arab Saudi dengan kapasiti 100 megawatt diikuti penerokaan potensi pelaburan di Ghana dan beberapa negara di Afrika Utara.

Bagi rantau ASEAN pula, Guntor berkata, Gading Kencana dan March Global menyasarkan untuk membangunkan ladang solar di Vietnam.

Tambah beliau, MoU itu membolehkan syarikat Malaysia seperti Gading Kencana mengorak langkah ke pentas antarabangsa dengan memanfaatkan perkembangan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui global dengan kapasiti penjanaan baharu mencecah hampir 280 gigawatt pada 2020, kira-kira 45 peratus lebih tinggi dari 2019.

Beliau berkata, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), prestasi itu menandakan peningkatan tertinggi tahun ke tahun sejak 1999.

“Kapasiti penggunaan tenaga elektrik global daripada sumber tenaga boleh diperbaharui diunjurkan meningkat lebih daripada 60 peratus antara 2020 dan 2026, mencecah lebih 4,800 gigawatt.

“Tambahan kapasiti yang sangat tinggi akan menjadi ‘normal baharu’ pada 2022,’’ katanya. – SM

 

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button