Nasional

Penggunaan vaksin Covid-19 akan diperhalusi – Zulkifli

PENGGUNAAN vaksin Covid-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang. Ini termasuk mengambil kira semua aspek soal masaqid syariah selain memastikan vaksin itu tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu, perbincangan akan melibatkan pakar seperti mufti, wakil Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.

“Hal ini akan kita masukkan dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan untuk diperhalusi dan dalam masa terdekat kita akan dapat satu rumusan yang baik dengan melihat keseluruhannya,” katanya seperti mana dilaporkan BERNAMA hari ini.

Beliau berkata demikian usai majlis penyerahan sumbangan tabung Musaadah Covid-19 kepada seorang pesakit buah pinggang.

Sementara itu, pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Zulkifli dilaporkan berkata, Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjelaskan hukum penggunaan vaksin ialah ‘harus’.

Ia selari dengan kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.

Mengenai tabung Musaadah Covid-19 pula, Zulkifli berkata, lebih RM360 juta telah diagih-agihkan kepada ribuan keluarga yang terjejas di seluruh negara dalam tempoh Mac hingga November lalu.

Terdahulu, Zulkifli meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni Muhammad Syahmi Mohd. Shamsul Bahari, 19, yang mengalami kerosakan buah pinggang sejak berusia lima tahun di kediaman ibu bapanya di Taman Lukut Makmur, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kisah Muhammad Syahmi mendapat perhatian banyak pihak sebaik disiarkan di media tiga hari lalu. Bapanya, Mohd. Shamsul Bahari Ab Jalal, 48, berhasrat menjual kediamannya bagi mencari dana untuk membiayai kos pembedahan anak kedua daripada lima orang adik beradik itu.

Sementara itu, Mohd Shamsul Bahari yang menzahirkan rasa syukur berkata, kos pembedahan pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) dan kos pembedahan urat saraf sudah mencukupi dan pembedahan dijangka dilakukan bulan depan.

“Dia pernah menjalani pemindahan buah pinggang tujuh tahun lalu, namun kini buah pinggang anak saya telah rosak.

“Jadi, pembedahan nanti diharap dapat memulihkan semula buah pinggangnya,” katanya. – SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button